KUALA LUMPUR: Dua buah pusat perniagaan dan beli belah di ibu negara iaitu Kotaraya dan Galaxy Ampang yang dikenal pasti dimonopoli warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.
Menerusi operasi penguatkuasaan yang dilakukan bermula pukul 11 pagi sehingga 2 petang itu seramai 217 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 530 orang telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan merangkumi warganegara asing dan tempatan.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 224 orang telah diperiksa melibatkan warganegara asing di lokasi serbuan pertama manakala seramai 260 orang turut diperiksa di lokasi kedua.
“Hasil pemeriksaan, kami telah menahan seramai 217 orang PATI iaitu 55 lelaki dan 162 perempuan berusia antara 18 hingga 63 tahun di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan 1963.
“PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia paling ramai iaitu seramai 60 orang terdiri daripada 20 lelaki, 40 wanita diikuti Filipina (46 orang) ; Myanmar (17 orang), India dan Nepal masing-masing (lima orang) ; Bangladesh (3 orang) serta Yaman dan Pakistan melibatkan dua orang.
“Turut ditahan seorang lelaki warga Jerman, manakala tiada tangkapan membabitkan warga Syria dan Nigeria,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Lokman, kesemua PATI yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Beranang dan Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan susulan.
Katanya, semasa operasi dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi, sekali gus menyukarkan proses tangkapan.
Katanya, JIM juga akan mengesan majikan tempatan yang menggajikan kesemua PATI yang ditahan mengikut Akta Imigresen. – UTUSAN










