Pembaharuan UMNO perlu secara inklusif

Pembaharuan UMNO perlu secara inklusif

MOHD. ZAIDY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses pembaharuan dan penyatuan UMNO mesti digerakkan secara inklusif di mana parti itu bukan milik mana-mana individu sebaliknya merupakan amanah bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, pendekatan tersebut amat penting bagi memastikan UMNO kembali diyakini rakyat serta kekal relevan dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar.

Menurut beliau, kesediaan pimpinan untuk mendengar suara akar umbi, menolak politik adu domba serta berpegang teguh kepada semangat perjanjian dan persefahaman merupakan asas utama dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.

“UMNO perlu berani berhadapan dengan realiti politik secara jujur dan terbuka. Hanya dengan keberanian itu, proses pembaharuan dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa menafikan peranan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di mana penyatuan ummah dan kestabilan negara kekal sebagai teras utama perjuangan UMNO, selaras dengan prinsip penubuhan parti berlandaskan Perlembagaan dan Maqasid Syariah.

Mohd Zaidy menegaskan, UMNO harus terus diperkasakan sebagai wadah penyatuan ummah dan kekal menjadi tiang seri kestabilan negara, selaras dengan peranan sejarahnya dalam membina dan mempertahankan keharmonian Malaysia.

Katanya, usaha penyatuan yang berpaksikan kepentingan bersama dan bukannya kepentingan peribadi akan memastikan parti itu terus kukuh serta mampu menghadapi cabaran politik masa depan.

“UMNO adalah amanah yang perlu dipikul bersama. Hanya dengan kesatuan, kejujuran dan kebijaksanaan, penyatuan ummah dapat diperkukuh dan masa depan negara dapat dipertahankan.

“Saya menyambut baik penegasan Presiden UMNO bahawa penyatuan ummah mesti menjadi keutamaan dalam landskap politik hari ini. Dalam suasana politik yang mudah dikuasai emosi dan sentimen, pendekatan berteraskan kesabaran, tanggungjawab dan kesetiaan kepada prinsip adalah langkah yang tepat demi kestabilan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×