Kerajaan digesa bantu peralihan kebun durian moden

Kerajaan digesa bantu peralihan kebun durian moden

ZURFAHIZ Hussin di kebun durian yang diusahakannya di Jempol, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha kebun durian menggesa kerajaan membantu dalam peralihan kepada kebun durian moden yang lebih tersusun dan mampan.

Langkah tersebut dilihat se­bagai langkah penyelesaian bagi menstabilkan industri durian yang kini berdepan isu lambakan, kualiti tidak se­ra­gam dan kebergantungan kepada orang tengah.

Seorang pekebun durian sepenuh masa, Zurfahiz Hussin, 47, berkata, ketiadaan hala tuju jelas dalam industri durian menyebabkan petani masih terikat dengan sistem pengredan dan harga pasaran yang sepenuhnya dikawal peraih.

Menurutnya, sokongan di­perlukan bukan sekadar bantuan input, sebaliknya pemindahan ilmu secara berstruktur bagi membolehkan petani be­r­alih daripada kaedah tradi­sional kepada pengurusan kebun moden.

“Ramai petani tidak gagal kerana sikap tetapi kerana me­reka tiada panduan siste­matik merangkumi peranca­ngan pembuahan, pengurusan nutrien dan kawalan penyakit berasaskan data.

“Kerajaan justeru perlu membangunkan standard pe­­ngurusan kebun durian mo­­den bagi membina keperca­ya­an pasaran, khususnya ne­gara pengimport terhadap as­pek ke­selamatan makanan dan peng­gunaan racun.

“Cadangannya adalah de­ngan pewujudan ladang contoh sebenar atau model farm yang berfungsi secara komer­sial, bukan sekadar ladang de­monstrasi sementara tetapi untuk menjadi rujukan langsung kepada petani,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, pekebun durian perlu melihat dan mempraktik sendiri pengurusan mo­den di lapangan untuk memastikan kefahaman dan pe­laksanaan yang berkesan bu­kan hanya melalui penganjuran seminar.

Menurut Zurfahiz, pematuhan kepada pensijilan seperti MyGAP juga perlu diperkukuh agar hanya buah yang berkua­liti dan selamat dibenarkan memasuki rantaian pasaran.

Sementara itu, beliau juga menekankan akses kepada da­ta cuaca, tanah dan agronomi yang tepat memainkan pera­nan penting bagi memboleh­kan petani menyusun semula musim pembuahan dan me­ngurangkan risiko lambakan.

Dalam aspek kewangan pula, katanya, sokongan perlu bersifat bersasar bagi membantu kos peralihan sistem seperti pengairan, pemantauan pokok dan pemangkasan berdisiplin, bukan hanya subsidi baja semata-mata.

“Saya harap ada cadangan insentif peralihan oleh kerajaan seperti geran kecil atau potongan cukai kepada kebun yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) moden termasuk pengurusan nutrien berdata dan sistem pengairan cekap,” katanya.

Menurutnya, dasar kualiti dan penggredan yang jelas perlu diwujudkan supaya pasaran memberi ganjaran kepada kualiti, bukan kuantiti semata-mata.

Dalam pada itu, Zurfahiz berkata, penghasilan klon durian baharu yang lebih menarik dan tahan penyakit wajar dipergiat bagi meningkatkan daya saing industri.

“Sokongan teknologi seperti data hujan, sistem amaran penyakit dan integrasi IoT di ladang mampu mempercepatkan transformasi pengurusan kebun.

“Kerajaan tidak perlu menjadikan semua kebun berteknologi tinggi, sebaliknya memastikan petani mencapai tahap minimum pengurusan moden demi kestabilan, keselamatan dan daya saing jangka panjang industri durian negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×