PETALING JAYA: Pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru–Singapura berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, kebanyakan kerja infrastruktur fizikal telah siap dan kini projek berkenaan sedang dalam proses memasang sistem RTS.
“Di dalam stesen, bangunan dan kerja struktur telah selesai, manakala ujian menyeluruh akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.
“Kami kini sedang memasang sistem sebelum ujian dijalankan, yang mana ia adalah penting sebelum operasi boleh bermula.
“Kereta api juga sedang melalui proses ujian di landasan di Johor Bahru dan semuanya dijangka berjalan lancar supaya projek ini dapat disiapkan pada Disember serta memulakan operasi pada Januari 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute, di sini semalam.
Mengulas mengenai Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Bukit Chagar, beliau berkata, projek itu seharusnya mengguna pakai model seperti Central di Hong Kong dengan menghubungkan bangunan sekitar melalui laluan pejalan kaki yang bersambung ke JB Sentral.
“JB Sentral dan Bukit Chagar hampir 300 meter jaraknya, jadi integrasi antara kedua-duanya diperlukan supaya orang ramai mudah mengakses bas dan kereta api.
“Selain itu, JB Sentral penting untuk pengangkutan bas dan kenderaan lain, manakala Bukit Chagar untuk RTS Link dan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS).
“Integrasi ini memastikan laluan pejalan kaki yang lancar serta mengelakkan kesesakan kenderaan di Bukit Chagar,” ujarnya.
Anthony berkata, kerajaan juga sedang berbincang dengan pihak swasta, khususnya pemilik bangunan di sekitar Stesen Bukit Chagar bagi memperkukuh akses serta keterhubungan pejalan kaki ke stesen RTS Link.
“Kerajaan menggalakkan pemilik bangunan di JB Sentral untuk membuka premis mereka dan dihubungkan dengan bangunan lain melalui laluan pejalan kaki atau jambatan.
“Bagaimanapun, kerjasama pemilik bangunan diperlukan kerana kerajaan tidak boleh memaksa bangunan swasta seperti hotel, pasar raya dan pejabat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi memudahkan operasi kawalan sempadan secara bersama (co-located) projek RTS Link yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang adalah penting sebelum operasi bermula.
“Di peringkat kerajaan, penggubalan undang-undang baharu penting untuk membolehkan co-location di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ).
“Tanpa undang-undang ini, CIQ co-location tidak boleh dilaksanakan.
“Undang-undang ini juga membolehkan imigresen Singapura berada di stesen Bukit Chagar dan imigresen Malaysia secara reciprocal di Woodlands. Ini adalah kerjasama dua negara yang penting bagi memastikan keberkesanan sistem RTS,” katanya. – UTUSAN










