Politeknik Kota Bharu destinasi utama TVET negara

Politeknik Kota Bharu destinasi utama TVET negara

POLITEKNIK Kota Bharu (PKB) bukan sekadar tempat belajar tetapi destinasi masa hadapan untuk anak muda membina kejayaan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). FACEBOOK POLITEKNIK KOTA BHARU (PKB)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pemacu utama pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Politeknik Kota Bharu (PKB) membuktikan dirinya sebagai institusi TVET terunggul, bukan sekadar kerana kemudahan dan program yang ditawarkan tetapi berpaksikan kualiti latihan, jaringan industri kukuh dan komitmen terhadap kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar.

TVET menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dengan melahirkan tenaga kerja separa profesional dan teknikal yang relevan dengan keperluan pasaran. PKB, sebagai salah sebuah politeknik premier di Pantai Timur, menyediakan pendidikan seimbang antara teori dan amali, melahirkan graduan yang berkemahiran teknikal, berfikiran kritis, beretika selain mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja sebenar.

Sejak penubuhannya, PKB berkembang pesat dari segi infrastruktur, program pengajian dan reputasi akademik. Ia bukan sekadar pusat latihan kemahiran tetapi ejen pembangunan sosioekonomi tempatan melalui penyediaan tenaga kerja mahir dan kerjasama erat dengan industri. 

PKB menawarkan pelbagai program diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan, perdagangan, teknologi maklumat serta sokongan lain, sentiasa dikemas kini selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan transformasi digital negara.

Kualiti akademik dan tenaga pengajar berpengalaman menjadi tunjang kejayaan PKB. Pensyarah yang berkelayakan menggabungkan pengajaran berasaskan silibus dengan pengalaman industri sebenar. Pelajar didedahkan kepada pendekatan di lapangan dan penyelesaian masalah mahupun pembelajaran berasaskan kerja, membolehkan mereka membentuk kemahiran insaniah seperti kerjasama, komunikasi serta pengurusan projek.

Kemudahan moden seperti bengkel, makmal, studio, asrama, perpustakaan dan pusat sukan menyokong pembelajaran serta pembangunan sahsiah pelajar. Hubungan strategik PKB dengan industri membolehkan latihan industri yang berkesan, meningkatkan kebolehpasaran graduan yang cepat mendapat pekerjaan atau melanjutkan pengajian dan keusahawanan.

PKB juga menekankan keusahawanan dan inovasi, menggalakkan pelajar membangunkan idea perniagaan, menghasilkan produk kreatif dan menyertai pertandingan teknologi. Pembentukan sahsiah, etika dan nilai insaniah menjadi agenda utama, melahirkan graduan berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.

Melihat pencapaian dan hala tuju strategik PKB, ia wajar dianggap destinasi utama TVET negara. Institusi ini menyediakan laluan pendidikan berkualiti, membuka peluang luas kepada generasi muda untuk membina kerjaya bermakna dan menyumbang signifikan kepada pembangunan negara.

PKB bukan sekadar tempat belajar tetapi destinasi masa hadapan untuk anak muda membina kejayaan melalui TVET.-UTUSAN

YASWADI MAT YASIM

Jabatan Hal Ehwal Pelajar

Politeknik Kota Bharu (PKB)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN