Guna metodologi baharu... - Utusan Malaysia

Guna metodologi baharu…

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-256 di Istana Negara pada Februari 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKSI tenis Terbuka Perancis ligat di gelanggang masa ini. Novak Djokovic dan Rafael Nadal bersaing sengit.

PGA Tour Memorial di Dublin, Ohio pula menyaksikan Jon Rahm menarik diri akibat jangkitan Covid-19, 6 Jun lalu. Panorama di kedua-dua acara ini sama, iaitu disaksikan penonton yang hadir.

Perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, 30 Mei lalu menobatkan Chelsea sebagai pemenang mengatasi Manchester City 1-0 di Stadium Dragao, Porto, Portugal turut dibanjiri penonton dalam stadium.

Ada benarnya video yang dikongsi seorang rakyat Malaysia yang berada di London tentang situasi semasa di sana.

Dalam seminggu ini, kosong kes kematian dicatatkan di United Kingdom. Penduduk kota London kini boleh keluar rumah tanpa memakai pelitup muka. Padahal sejak pandemik bermula, sejumlah 4.51 juta rakyatnya dijangkiti Covid-19 dengan catatan 128,000 kematian. Australia dan New Zealand sekarang turut sifar kematian daripada pandemik ini.

Kita di tanah air masih bergelut. Geloranya sudah tahap gelombang ketiga dengan jumlah kes ada kala melepasi 8,000 sehari. Angka kematian tiga angka dan kes berselang seli 6,000 hingga 7,000 kes dalam 24 jam.

Ada memberi pandangan kepada saya, untuk kerja-kerja pemvaksinan, strategi yang mungkin berkesan adalah berpandukan nukleus. Kata mereka yang arif, mengapa tidak mulakan dahulu dengan liputan pemvaksinan menyeluruh di Wilayah Persekutuan? Selepas 100 peratus semua tempat dan kawasan di Kuala Lumpur dilitupi, baharulah dihalakan ke utara dan selatan.

Ini kerana di peringkat awal April tahun lepas, kampung-kampung masih menghijau belum dijangkiti. Justeru, fokuskan ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Lembah Klang.

Justeru, tidak hairanlah kedengaran keluh-kesah mereka di bawah sana terhadap red tape yang berlaku. Dengan masih banyak belum memperoleh dos mereka, ‘papan selaju’ digerakkan netizen memancarkan hastag #KerajaanGagal. Ini manifestasi mereka, Tidak boleh pandang remeh.

Di sebalik ini, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dimomokkan dianggotai sebilangan ‘orang pencen’ yang tiada apa-apa data (Covid-19) di tangan. Tipikal pemikiran penjawat awam: “Kita serah kepada kerajaan (untuk selesaikan isu-isu berkisar Covid-19). Sebilangan anggota jawatankuasa tidak dapat menggarap teknologi yang ada.

Barangkali, ini era generasi Y yang sistem penyampaian dan pemikiran berteraskan metodologi. Orang-orang lama ini berada di luar generasi Y.

Kita kena akur, dahulu komunikasi cara konvensional. Sekarang belum habis mesyuarat lagi, maklumat atau isi dibincangkan sudah tersebar ke seantero dunia. Maka perlu gunakan metodologi baharu.

Macam mana Malaysia hendak berubah jika idea-idea datang daripada ‘orang pencen’ sahaja. Kita tidak pertikaikan mereka yang cukup berpengalaman ini dahulu, tetapi urusan mengendalikan Covid-19 ini suatu perkara baharu. Jawatankuasa yang menasihati Yang di-Pertuan Agong perlu sesuai dengan zaman. Biarlah anggota jawatankuasanya yang bergelumang dengan orang ramai dan merasai denyutan nadi rakyat.

Ramai lagi sebenarnya yang berkaliber di luar sana dalam kalangan pensyarah dan tenaga akademik universiti. Mereka memiliki banyak cabang pemikiran. Kita mahukan orang yang cerdas, bukan yang ‘terketar-ketar.’

LEMAH LEMBUT

Benar, rakyat Malaysia bersifat lemah lembut. Tidak seperti penduduk negara jiran yang agresif dan sensitif bila mana ‘terpukul’ dengan kerenah kerajaan mereka pada musim pandemik ini. Namun, jangan ambil mudah bila rakyat dalam kesusahan.

Dua minggu lalu semasa cuti umum Hari Wesak, saya pulang ke kampung kerana urusan keluarga. Sempat saya singgah di sebuah warung makan diusahakan seorang lelaki lingkungan 50-an. Bila kawan saya hulurkan sumbangan kira-kira RM200, dia lantas memeluk penyumbang dan menangis memanjatkan syukur.

Kesusahan rakyat menjadi keutamaan kita. Bila tidak ada priority, inilah masalahnya. Mengikuti laporan akhbar baru-baru ini, kes-kes sumbang mahram mencatat peningkatan dalam empat bulan pertama tahun ini. Tapi apa yang dilakukan oleh kementerian berkenaan? Kelihatan yang mengetuai portfolionya buat selamba tak tahu isu ini. Tidak tahu atau barangkali ‘memang tidak tahu.’

Padahal data-data semua sudah ada. Tidak salah tawarkan moratorium automatik tiga bulan kepada B40, tetapi kedudukan M40 dan T20 macam mana? Golongan T20 misalnya, mempunyai komitmen tinggi membayar pekerja antara RM100,000 hingga RM200,000 sebulan. Kalau dapat moratorium, sekurang-kurangnya boleh menanggung gaji staf tanpa terpaksa memberhentikan mereka.

Kerana itu jika ada menteri atau timbalannya yang tidak mahu meningkatkan diri, ia sekali gus menggambarkan tiada sikap hendak belajar atau berusaha hendak tahu isu-isu masyarakat. Ada keperluan asas pada ahli Parlimen tertentu yang dirinya tidak ada. Kerja menteri dianggap biasa. Tidak ada masa hendak fikir masalah rakyat. Cukup bulan terima gaji. Berada di alam lain.

Sedarlah kelemahan diri. Antara kepentingan diri dan keluarga berbanding rakyat dan negara, tepuk dada, tanya iman. You are a loser.

Nasib baiklah ada pemimpin UMNO yang cerdik menguruskan hal ehwal Covid-19. Kelibat pemimpin Pas mana? Dalam sibuk-sibuk mengharungi pandemik, khabarnya ada negeri yang cacamarba hingga disebut-sebut menteri besarnya mahu ditukar. Sibuk melayan karenah orang berniaga hingga bermasalah dengan pihak istana.

Kelulusan tinggi bukanlah lesen untuk menjadi seorang menteri besar yang dihormati. Inilah cabaran terpaksa ditanggung parti terbabit.

Sebelum mengakhiri nukilan ini, izinkan patik meminjam petikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akhir bulan lalu dalam menggesa semua lapisan masyarakat untuk bersikap komited kepada saranan sekatan pergerakan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan: “Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada tanggung sakit melarat.”

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×