Lebih ramai migran maut dalam tahanan ICE di bawah Trump

Lebih ramai migran maut dalam tahanan ICE di bawah Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Taktik konfrontasi yang digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) kini menjadi tumpuan sejak insiden tembakan maut terhadap seorang penunjuk perasaan, Renee Nicole Good, di Minneapolis, Minnesota pada 7 Januari lalu.

Namun, data yang dikeluarkan oleh agensi itu menunjukkan  pusat tahanan imigresen juga boleh menjadi persekitaran yang membawa maut kepada individu yang ditahan di dalamnya.

Kenyataan media daripada ICE mendedahkan beberapa individu meninggal dunia dalam tahanan hanya dalam beberapa hari pertama tahun 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jumlah itu direkodkan sejurus selepas data pada 2025 mendedahkan kematian tahanan migran tertinggi dalam tempoh 20 tahun dan jumlah penahanan oleh ICE yang meningkat secara mendadak.

Lebih 68,000 orang dewasa berada dalam tahanan ICE setakat akhir Disember, meningkat daripada kira-kira 36,000 orang pada Disember 2023, menurut data agensi itu.

Sekurang-kurangnya empat orang meninggal dunia ketika ditahan oleh ICE pada tahun 2026, menurut agensi berkenaan.

Kesemua kematian itu berlaku dalam 10 hari pertama tahun ini, dengan tiga kematian diumumkan dalam tempoh 9 hingga 10 Januari.

Para migran tersebut, semuanya lelaki, berusia antara 42 hingga 68 tahun. Dua daripadanya adalah warganegara Honduras, seorang warganegara Cuba, dan seorang lagi warga Kemboja.

Kematian dua daripada mereka dikaitkan dengan masalah kesihatan berkaitan jantung, manakala punca kematian dua yang lain tidak dinyatakan dengan jelas.

Hanya satu daripada kes tersebut disenaraikan sebagai dalam siasatan.

Tahun sebelumnya, 2025, telah pun menjadi tahun paling maut bagi tahanan ICE dalam tempoh dua dekad.

Sekurang-kurangnya 30 orang meninggal dunia ketika ditahan di pusat tahanan imigresen, jumlah tertinggi sejak tahun 2004, iaitu setahun selepas agensi itu ditubuhkan.

Angka bagi tahun 2025 itu melebihi jumlah keseluruhan kematian dalam tahanan ICE sepanjang pentadbiran Presiden Joe Biden dari 2021 hingga 2025.

Dalam tempoh empat tahun tersebut, seramai 26 orang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan ICE, menurut data yang dikumpulkan oleh Persatuan Peguam Imigresen Amerika daripada laporan ICE.

Pemerhati luar telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap tahap rawatan perubatan yang diterima oleh tahanan.

Satu laporan pada tahun 2024 oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) menyimpulkan sehingga 95 peratus kematian dalam tahanan ICE sebenarnya boleh dicegah jika rawatan yang sesuai diberikan.

Laporan tersebut menganalisis kematian dalam tahanan ICE antara tahun 2017 hingga 2021 dengan meneliti ribuan halaman dokumen yang diperoleh melalui permintaan rekod awam.

Pakar perubatan yang menilai dokumen tersebut mendapati bukti meluas mengenai rawatan yang salah atau tidak sesuai, serta kelewatan serius dalam mendapatkan rawatan perubatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini