DALAM dunia kerja yang semakin dipacu teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), data analitik dan automasi, wujud satu ironi yang sukar diabaikan iaitu kepercayaan terhadap sihir dan amalan mistik masih bertapak dalam sebahagian kecil budaya organisasi. Fenomena ini timbul bukan sahaja sebagai gurauan atau cerita pinggir tetapi kadangkala muncul sebagai tuduhan serius apabila berlaku ketegangan di pejabat daripada kelewatan kenaikan pangkat, konflik rakan sekerja, hinggalah prestasi kerja yang merosot tanpa sebab yang jelas.
Sebagai permulaan, adalah penting untuk memahami sihir, secara asasnya, merujuk penggunaan unsur ghaib bagi memudaratkan atau mempengaruhi individu lain. Dalam konteks profesional, ia sering dikaitkan dengan dakwaan seseorang cuba mengganggu rezeki rakan sekerja, menjejaskan emosi individu tertentu atau menggagalkan kerjaya seseorang melalui medium mistik. Hakikatnya, naratif seperti ini tidak pernah selari dengan prinsip tadbir urus moden, nilai profesionalisme atau kerangka etika mana-mana organisasi.
Persoalan utama tetap sama, mengapa masih ada individu yang memilih unsur mistik sebagai jalan belakang? Sumbernya sering berkisar pada sisi gelap emosi manusia, dengki terhadap pencapaian rakan setugas, rasa tidak puas hati, kekecewaan terhadap sistem penilaian prestasi atau kegagalan mengurus tekanan kerja. Ada juga yang menjadikan sihir sebagai ‘pelarian’ untuk menjelaskan kegagalan diri sendiri, seolah-olah mudah menyalahkan unsur luar berbanding mengambil tanggungjawab memperbaiki kompetensi.
Namun hakikatnya, apa jua sebab atau justifikasi, tindakan sedemikian mencerminkan kelemahan integriti dan kematangan emosi. Dalam dunia pekerjaan moden, kejayaan tidak pernah dibina atas asas mistik. Ia terhasil daripada ketekunan, prestasi, kebijaksanaan strategik dan kemampuan bekerja dalam ekosistem organisasi yang kompleks. Amalan sihir bukan sahaja berdosa dan tidak beretika, malah membawa implikasi serius membabitkan hubungan kerja tercalar, suasana pejabat menjadi toksik, timbul rasa saling mencurigai dan akhirnya menjejaskan kesejahteraan mental pekerja.
Lebih penting, sesiapa yang mengejar kejayaan melalui cara tidak bermoral ini hakikatnya tidak memperoleh apa-apa kelebihan berkekalan. Apa yang hadir hanyalah ketakutan, rasa bersalah dan kegusaran berpanjangan bahkan bayaran yang terlalu mahal bagi sesuatu yang tidak pernah menjamin hasil.
Dalam era moden, organisasi tidak boleh lagi membenarkan budaya khurafat atau kepercayaan mistik mempengaruhi keputusan, prestasi atau harmoni pasukan. Tempat kerja sihat memerlukan sistem aduan yang telus, budaya komunikasi terbuka, kepimpinan responsif serta garis panduan pengurusan sumber manusia yang tegas terhadap salah laku, buli dan tekanan psikologi. Konflik antara rakan sekerja harus diselesaikan melalui saluran profesional seperti dialog, mediasi, intervensi pengurusan, serta latihan pengurusan emosi dan kecerdasan sosial.
Fenomena kepercayaan terhadap sihir di tempat kerja sebenarnya memberi isyarat jelas organisasi perlu memperkukuh aspek kesihatan mental, keselamatan psikologi dan kesejahteraan pekerja. Tanpa ruang untuk pekerja bersuara, tanpa sistem sokongan yang jelas atau tanpa kepimpinan yang peduli, naratif mistik akan terus mengisi kekosongan tersebut.
Akhirnya, satu perkara perlu ditegaskan yang ilmu, akhlak, integriti dan profesionalisme jauh lebih berkuasa daripada kepercayaan khurafat. Dunia pekerjaan hari ini menuntut manusia yang berfikir, bukan bersandar pada ketakutan dan prasangka.
Jika hati ikhlas, kerja menjadi berkat,
Dengki dan sihir tidak membawa manfaat,
Di era moden, akal menjadi martabat,
Integriti tinggi kekal diangkat.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. IDAYA HUSNA MOHD.
Pengarah Pusat Kepimpinan Institusi










