Peluang untuk muhasabah, jadi individu bertanggungjawab

Peluang untuk muhasabah, jadi individu bertanggungjawab

SEMANGAT tahun baharu perlu diterjemahkan kepada aspek penambahbaikan berterusan pada sistem piawaian dan budaya kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHUTBAH Jumaat di seluruh Pulau Pinang pada 2 Januari lalu, bertajuk Gugusan Doa Tahun Baharu mengingatkan permulaan tahun bukan sekadar perubahan tarikh tetapi peluang untuk muhasabah dan pembaharuan tanggungjawab. Antara mesej terasnya ialah doa perlu disertai dengan usaha, disiplin dan akauntabiliti.

Dalam kerangka tadbir urus moden, institusi yang tidak telus dalam tindakan walaupun tidak disengajakan boleh membentuk persepsi ‘ketertutupan’ dengan masyarakat. Jika berlarutan, persepsi ini berisiko menghakis keyakinan awam terhadap institusi keagamaan yang sepatutnya menjadi rujukan moral dan pentadbiran. 

Justeru, amalan asas seperti memberi maklum balas kepada setiap pertanyaan dan permohonan dengan jangka masa tindak balas yang munasabah dan jelas wajar menjadi piawaian.

Autoriti tidak seharusnya mencipta tembok, sebaliknya berfungsi sebagai jambatan, mendengar, memahami dan berkhidmat dengan rendah hati. 

Kepimpinan ialah khidmat, bukan kemegahan. Justeru, semangat tahun baharu ini perlu diterjemahkan kepada aspek penambahbaikan berterusan pada sistem piawaian dan budaya kerja. Keyakinan awam dipelihara bukan melalui kenyataan semata-mata tetapi melalui amalan yang cekap, berkesan dan telus. Amanah bukan sekadar disebut dalam doa, tetapi dizahirkan melalui amalan.

“Ya Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, kurniakan petunjuk, hikmah dan kelapangan hati kepada mereka yang Engkau amanahkan dengan tanggungjawab dan kuasa keagamaan di Pulau Pinang.

Anugerahkan kepada mereka kejernihan akal, keikhlasan niat serta kesungguhan dalam menunaikan amanah. Tanamkanlah dalam diri mereka rasa takut kepada-Mu dan kesedaran setiap tanggungjawab akan dipersoalkan di hadapan-Mu kelak.

Bantulah mereka memahami kelalaian menguruskan tanggungjawab boleh melambatkan keadilan dan menghakis kepercayaan masyarakat. Gantikanlah sikap sambil lewa dengan ketelitian dan kesungguhan.

Bagi mereka yang melengah-lengahkan tanggungjawab, kurniakanlah keinsafan.Bagi mereka yang tidak menyedari kelalaian diri, kurniakanlah kesedaran. Dan bagi mereka yang menyedari tetapi masih enggan bertindak, kurniakanlah keberanian untuk berubah.

Ya Allah, kembalikanlah nilai integriti, ketelusan dan komunikasi yang berhemah. Jadikanlah mereka pemimpin yang mendengar, memahami, dan bertindak dengan adil. Kurniakanlah kepada kami semua kesabaran dan janganlah Engkau jauhkan daripada kami keadilan-Mu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin” –UTUSAN

 

PEMBACA YANG PRIHATIN

Pulau Pinang

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×