Kontraktor perlu jujur, bertanggungjawab

Kontraktor perlu jujur, bertanggungjawab

PROJEK perlu disiapkan lebih awal daripada jadual, bukan memohon lanjutan masa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mengalu-alukan pengumuman Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mempercepatkan pelaksanaan ribuan projek kecil yang dilaksanakan kontraktor G1 hingga G4 di seluruh negara.

Dengan pengumuman tersebut, bukan sahaja dapat memberi peluang kerja kepada para kontraktor terbabit, malah rakyat juga akan mendapat faedah.

Menurut Ahmad, langkah itu selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua kementerian dan jabatan mengenal pasti segala projek kecil, sekaligus memastikannya dilaksanakan segera seawal Februari depan.

Katanya, kementeriannya mempunyai matlamat yang jelas bagi memastikan projek disiapkan lebih awal daripada jadual, bukan memohon lanjutan masa.

Antara projek kecil yang akan diberi keutamaan adalah kerja-kerja penyelenggaraan bangunan kerajaan termasuk sekolah, hospital serta bangunan awam lain, selain pembinaan dan baik pulih jambatan kecil serta jalan kampung.

Pembinaan dewan, balai raya dan surau kecil juga termasuk dalam kategori projek kecil yang perlu disegerakan.

Timbalan menteri itu turut mengingatkan jurutera daerah supaya peka dan maklum dengan arahan berkenaan, sambil menegaskan pemantauan akan dilakukan oleh JKR, pejabat daerah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah.

Begitulah seriusnya perhatian yang diberi oleh kerajaan, bukan sahaja untuk memberi faedah kepada rakyat, tetapi juga bagi kontraktor-kontraktor kecil.

Apa yang diharapkan para kontraktor yang diberi amanah untuk melaksanakan sesuatu kerja, hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka dengan jujur dan disiapkan mengikut masa yang ditetapkan. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×