TELUK INTAN: Belum pun masuk bulan Ramadan, tukang jahit di bandar ini sudah mula sibuk menyiapkan tempahan baju raya daripada pelanggan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan tukang jahit di sekitar Teluk Intan kini giat menyiapkan tempahan pakaian dengan pelbagai rekaan dan fesyen bagi memastikan semuanya dapat disiapkan sebelum Syawal 2026.
Seorang tukang jahit berketurunan India, Mallika Seah, 61, berkata, dia telah mula menerima tempahan baju raya seawal bulan Oktober lalu dan jumlahnya kini mencecah 200 pasang serta dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, jumlah tempahan yang diterima pada tahun ini meningkat dengan ketara berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan sekitar 80 pasang, kebanyakannya daripada pelanggan yang mahu pakaian sedondon untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.
“Setakat ini, sebanyak 200 pasang baju raya tempahan sudah siap dijahit bermula November 2025 hingga awal bulan ini. Tempahan kali ini memang meningkat berbanding tahun-tahun lalu,” katanya ditemui di kedainya di Jalan Raja di sini.
Mallika berkata, dia masih menetapkan kadar upah jahitan sekitar RM80 hingga RM100 bagi sepasang pakaian.
Katanya, pelanggan yang mendapatkan khidmatnya bukan sahaja dari Teluk Intan, malah turut datang dari Sungkai, Bidor dan Bagan Datuk yang kebanyakannya pelanggan tetap sejak bertahun-tahun lalu.
“Saya gembira kerana pelanggan memberi kepercayaan kepada saya untuk menyiapkan baju raya mereka,” katanya.
Menurut Mallika, dia telah mengusahakan perniagaan menjahit pakaian selama 25 tahun dan menyiapkan semua tempahan secara bersendirian tanpa pembantu.-UTUSAN.










