PEKAN: Tasik Chini di sini bukan hanya tasik semula jadi yang masyhur dengan keindahan dan kekayaan biodiversiti malah diangkat sebagai ‘jantung warisan’ Pahang.
Tasik itu menyimpan jejak sejarah, mitos dan ketamadunan awal rantau ini termasuk hubungan dengan Kemboja serta Siam di samping kekal menjadi sumber ilham para penulis dan seniman Melayu sejak turun-temurun.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Aripin Said yang juga seorang penulis berkata, Tasik Chini juga perlu dilihat sebagai sebuah tapak peradaban yang merangkumi lapisan sejarah, memori kolektif dan falsafah kehidupan orang Melayu.
Menurutnya, dalam tradisi lisan masyarakat setempat, Tasik Chini dipercayai pernah menjadi pusat penempatan dan kekuasaan sebuah kerajaan silam.
Katanya, kerajaan itu akhirnya tenggelam akibat perubahan besar alam atau bencana yang melanda pada zaman lampau.
“Di bawah permukaan Tasik Chini dipercayai tersimpan harta karun serta peninggalan sebuah kerajaan silam yang tenggelam di dasar tasik. Kepercayaan ini hidup dalam cerita orang tua-tua dan menjadi sebahagian daripada ingatan sejarah orang Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aripin berkata, kemusnahan Tasik Chini bukan sahaja bermakna kehilangan ekosistem tetapi turut membawa kepada penghakisan sejarah, warisan budaya dan jati diri bangsa.
Tasik Chini ialah amanah bangsa. Memeliharanya bererti kita memelihara alam, sejarah dan maruah negara,” katanya.-UTUSAN.










