KUCHING: Sebanyak 26 buah sekolah di Sarawak dijangka tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan 2026 esok disebabkan terjejas banjir.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata berdasarkan Tinjauan Kebolehoperasian Sekolah-Sekolah Terjejas Banjir di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), kesemua sekolah itu adalah di bawah seliaan tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Daro, Selangau dan Tatau/ Sebauh.
Katanya daripada jumlah itu, 19 buah sekolah terlibat adalah di Tatau/Sebauh iaitu SJK(C) Chung Hua Tatau, SJK(C) Chung San, SK Bukit Mawang, SK Hermanus Assan, SK Kuala Binyo serta SK Kuala Kebulu.
Selain itu, SK Kuala Muput, SK Kuala Sigu, SK Labang, SK Ng. Penyarai, SK Ng. Tau, SK Pandan, SK Rh. Tayai, SK Sebauh, SK Sg. Bukit Balai, SK Sg. Genaan, SK Sg. Sebungan, SK Sg. Sengian dan SK Sg. Bagian.
“Semua sekolah ini tidak dapat beroperasi disebabkan kawasan sekolah banjir, jalan ke sekolah terputus kerana banjir dan kawasan sekolah banjir,” katanya yang dihubungi.
Manakala, Omar berkata di Selangau melibatkan empat buah sekolah iaitu SK St. Mark, SK Nanga Selangau, SK Kuala Lemai dan SK Ulu Sg. Arip.
“Sekolah-sekolah tersebut tidak dapat beroperasi kerana paras air telah memasuki kelas dan kawasan sekolah, ia adalah berbahaya kepada keselamatan,” katanya.
Beliau menambah di Daro, tiga buah sekolah yang terjejas ialah SK Kg. Pangtray, SK Ok Selair dan SJK(C) Chung Hua disebabkan kawasan sekolah masih digenangi air, kawasan kampung masih banjir serta akses laluan kampung dan sekolah masih banjir.
Sementara itu, Omar berkata lapan buah sekolah rendah turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), antaranya SK Bukit Arip di Selangau.
Katanya tujuh lagi sekolah terlibat adalah di Serian iaitu SJK(C) Chung Hua Batu 29, SK Krusen, SK Pangkalan Sorah, SK St Peter, SK Tanah Merah, SK Tanah Puteh dan SK Tebakang. – UTUSAN







