Mampukah PN tadbir Perlis tanpa Exco daripada Pas?

Mampukah PN tadbir Perlis tanpa Exco daripada Pas?

ABU Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu dalam satu majlis istiadat di Istana Arau, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERI Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah selesai membentuk barisan pentadbiran kerajaan negeri dengan pelantikan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Exco pada Khamis lalu.

Abu Bakar memegang enam portfolio manakala empat ADUN yang lain masing-masing memegang empat portfolio.

Tidak ada wakil dari Pas di dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis berbaki tidak sampai dua tahun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Meskipun dipelawa, Pas kekal dengan pendirian tidak membenarkan ADUN daripada parti itu menganggotai barisan Exco kerajaan negeri, namun memberi jaminan menyokong kerajaan negeri pimpinan Abu Bakar sehingga akhir penggal.

Abu Bakar yakin barisan Exco kerajaan negeri yang dilantik itu mampu menggalas amanah diberikan biarpun terpaksa memegang banyak portfolio dan seterusnya bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memastikan Perlis terus bergerak maju.

Sekarang semua pihak harus pandang ke depan dan fokus kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar baharu itu. Mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab, bekerjalah bersungguh-sungguh demi rakyat dan negeri ini.

Beri peluang dan ruang kepada Abu Bakar menjalankan tanggungjawab serta membuktikan kemampuan beliau sebagai Menteri Besar sekurang-kurangnya dalam tempoh kurang dua tahun lagi sebelum menjelangnya PRU16.

Dalam tempoh dua tahun ini, banyak lagi perkara perlu diberikan tumpuan terutama dalam usaha menarik pelabur ke negeri ini seterusnya menjamin lebih banyak peluang pekerjaan di Perlis, meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta mengekalkan kerancakan sektor pelancongan di negeri ini.

Kerajaan negeri pimpinan Abu Bakar akan mengubah corak dan cara perkhidmatan dengan berteraskan konsep 3B iaitu bangkit, bingkas dan buat.

Bangkit, bingkas dan buat itu adalah trademark untuk pastikan semua dapat menggembleng tenaga demi kejayaan Perlis.

Meskipun masih ada yang skeptikal terhadap Abu Bakar namun Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri itu sebelum ini sudah membuktikan kemampuan menjalankan tanggungjawab cemerlang sebagai Exco dan cabaran lebih besar selepas ini sebagai Menteri Besar.

Dalam amanat pertama beliau di hadapan penjawat awam Perlis baru-baru ini, Abu Bakar beriltizam untuk mentransformasikan jentera pentadbiran negeri agar menjadi sebuah jentera benar-benar berkhidmat bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada sektor perniagaan dan pelaburan.

Abu Bakar juga berikrar memerangi budaya Little Napoleon dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Ia juga merupakan janji beliau kepada Tuanku Syed Sirajuddin yang sering menyatakan rasa dukacita dan malu baginda apabila menerima rungutan daripada pelabur serta peniaga apabila berurusan dengan segelintir penjawat awam itu.

Sikap sedemikian mesti dihentikan serta-merta.

Dalam aspek pelaburan, Abu Bakar mahu proses kelulusan berkaitan pelaburan di Perlis disusun semula bagi memendekkan tempoh menunggu yang sebelum ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan kepada tempoh lebih singkat.

Kerajaan negeri juga akan terus mengamalkan dasar mesra pelabur dan perniagaan dengan menekankan bahawa pelabur serta peniaga merupakan rakan strategik dalam pembangunan negeri.

 

Malah, pemilihan pelabur juga akan dibuat secara teliti dengan keutamaan diberikan kepada syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan perancangan strategik yang jelas.

Perlis sebelum ini telah ketinggalan daripada segi kemasukan pelaburan berbanding negeri-negeri lain dan ia bukan disebabkan negeri ini tidak berpotensi sebaliknya potensi tersebut belum dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Kerajaan negeri pimpinan Abu Bakar selepas ini perlu menggunakan segala potensi yang ada di Perlis yang antara lain mempunyai kelebihan geografi dan logistik sangat strategik itu selain kawasan sempadan untuk menarik pelabur.

Abu Bakar bersama pasukan di dalam pentadbiran kerajaan negeri perlu segera menekan ‘gear lima’ dalam segala gerak kerja memajukan negeri ini, seterusnya menunjukkan kemampuan sebenar Bersatu, meskipun tidak dibantu oleh Pas dalam pentadbiran namun mampu membuktikan sesuatu.

Satu lagi yang menarik perhatian sebuah video sajak yang dikongsikan Abu Bakar di laman Facebooknya yang bertajuk ‘Aku Bukan Pengkhianat’. Video nukikan Megat Adikara yang memaparkan perjalanan Abu Bakar itu yang digarap cukup indah, penuh tersirat.

Jika disoroti, kemelut politik yang meletus di Perlis tidaklah dilihat berunsur pengkhianatan.

Kata Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Adnan Fadzil, punca utama kemelut politik di Perlis termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar adalah kegagalan pihak tertentu di dalam Pas Pusat yang sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

 

Dedah Ahmad Adnan, kegagalan berunding secara berkesan dengan istana bagi pihak Pas, setelah Raja Perlis memaklumkan hasrat untuk menukar Menteri Besar, akhirnya menyebabkan Tuanku Syed Sirajuddin terpaksa bertindak menggunakan budi bicara baginda sepenuhnya.

Bersatu sebelum ini juga berharap agar pimpinan Pas Pusat dapat mempertimbangkan semula untuk membenarkan wakil rakyat dari parti itu dilantik di dalam barisan Exco kerajaan negeri untuk bersama-sama memajukan Perlis.

“Adalah lebih baik untuk pemimpin dari kedua-dua parti dari PN ini bersama-sama pandang ke depan memajukan negeri ini. Saya pasti dalam kalangan kita tahu dan sedar situasi sebenar yang berlaku.

“Dalam soal prinsip, saya juga mempunyai prinsip, tetapi demi kebaikan negeri ini adalah lebih baik kita pandang ke depan dan bersama-sama untuk memajukan negeri ini yang tidak sampai dua tahun lagi menjelang pilihan raya,” kata Izizam Ibrahim yang merupakan Timbalan Pengerusi Bersatu Perlis merangkap Exco kerajaan negeri.

Dalam titah Tuanku Syed Sirajuddin sempena majlis pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah Exco di Istana Arau baru-baru ini, baginda mengingatkan setiap wakil rakyat agar dapat memberi keutamaan kepada rakyat berbanding kepentingan diri sendiri.

Titah baginda, setiap wakil rakyat perlu adil dan seharusnya tidak mengambil kira parti yang diwakili dalam menjaga kebajikan masyarakat.

“Kepada Yang Berhormat (YB) semua, ingatlah anda memegang jawatan atau dipilih menjadi wakil rakyat adalah untuk mewakili rakyat, bukan diri sendiri, maka utamakan rakyat.

“Dan semasa menjadi wakil rakyat, lupakan parti mana anda wakili, kerana anda adalah wakil rakyat untuk menjaga rakyat,” titah baginda.

Ambillah perhatian daripada seruan Raja Perlis itu demi kesejahteraan rakyat dan kebaikan untuk kepentingan negeri tercinta ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×