KULIM: Seorang pekerja khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan letupan tahun lalu.
Namun, tertuduh, Muhammad Kamalraaj C. Solamalai, 35, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jamaliah Abd. Manap.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan letupan tanpa tujuan yang sah di sisi undang-undang di Jalan Paya Besar, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 20 Oktober tahun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, manakala tertuduh diwakili peguam, S. Parameswaran.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,200 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 22 Februari depan. Tertuduh membayar jaminan dikenakan.
Utusan Malaysia pada 21 Oktober tahun lalu melaporkan keterujaan orang ramai menyaksikan persembahan bunga api sempena sambutan Deepavali bertukar cemas apabila 22 orang cedera selepas terkena serpihan mercun yang meletup di Jalan Paya Besar, di sini.
Kejadian itu mengakibatkan kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim un2tuk rawatan sebelum polis menahan dua suspek termasuk salah seorang dalam keadaan mabuk yang memasukkan mercun jenis kelapa ke dalam bekas silinder yang menyebabkan letupan kuat. – UTUSAN










