PETALING JAYA: Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan boleh menjalankan tugas sebagai Setiausaha Agung untuk memanggil mesyuarat yang bertujuan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seterusnya memilih pengganti.
Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Pengerusi PN telah mengutuskan surat kepada ketua-ketua parti komponen bagi memaklumkan secara rasmi mengenai peletakan jawatan Muhyiddin, semalam.
Katanya, susulan itu terdapat keperluan memanggil satu mesyuarat tergempar Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN dalam masa terdekat.
“Timbalan Setiausaha Agung PN yang menjalankan tugas Setiausaha Agung boleh memanggil satu mesyuarat, mengikut tatacara dalam Perlembagaan PN.
“Mesyuarat tersebut perlu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi dan memilih serta melantik Pengerusi PN yang baharu,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook hari ini.
Ia bagi menjawab persoalan siapakah individu bertanggungjawab untuk memanggil mesyuarat tergempar MT kerana jawatan Setiausaha Agung PN kini kosong, susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Mohamed Azmin mengumumkan peletakan jawatannya sejurus pengumuman dibuat Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pas telah mengutuskan surat kepada Timbalan Pengerusi dan Ahli MT PN bagi mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik pengganti.
Perkara itu dikongsikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui laman media sosialnya hari ini. – UTUSAN










