PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus pada 2026, sedikit menurun daripada unjuran 2025 sebanyak 4.5 peratus, menurut MARC Ratings.
Agensi penarafan itu berkata, pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan domestik berterusan dan aktiviti pelaburan yang kukuh, terutamanya dipacu oleh kitaran perbelanjaan modal (capex) global dalam sektor Kecerdasan Buatan (AI), yang dijangka meningkatkan permintaan bagi produk elektrik dan elektronik serta infrastruktur pusat data.
“Unjuran ini turut disokong oleh paras inflasi sederhana, yang dijangka berada pada 1.6 peratus pada 2026, selari dengan pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“Dari segi luaran, prestasi eksport Malaysia dijangka menikmati manfaat aliran perdagangan serantau yang lebih kukuh, susulan perkembangan perdagangan yang positif selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya dalam laporan itu.
Walaupun prospek ekonomi keseluruhan menunjukkan peningkatan, MARC Ratings menekankan bahawa pertemuan Trump-Xi pada separuh pertama 2026, bersama dengan dinamik geopolitik yang sedang berubah, bakal mempengaruhi hala tuju dasar perdagangan negara.
“Bagaimanapun, perkembangan geopolitik terkini di Amerika Latin dijangka tidak memberi kesan besar terhadap prospek perdagangan Malaysia.
“Sebagai pengimport minyak mentah bersih, Malaysia dijangka manfaat daripada penurunan harga minyak, susulan peningkatan bekalan global,” katanya.
Menjelang 2026, pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih sederhana selepas prestasi kukuh pada 2025, apabila ekonomi utama berjaya mengelak kemelesetan, disokong oleh aktiviti perkhidmatan yang mantap.
“Bagaimanapun, kekangan struktur, termasuk tekanan demografi dan pasaran buruh yang ketat, dijangka memberi kesan lebih ketara terhadap momentum pertumbuhan,” katanya.
Dalam konteks ini, ekonomi global dijangka memasuki fasa pengembangan yang lebih stabil dan sederhana, berbanding dengan pecutan semula, walaupun perubahan dasar monetari, dinamik perdagangan dan perkembangan geopolitik akan terus menjadi risiko utama kepada aliran modal dan keadaan pasaran.
Di Amerika Syarikat, prestasi ekonomi kekal kukuh sehingga akhir 2025, disokong oleh aktiviti perkhidmatan yang mantap, perbelanjaan isi rumah yang tinggi, serta pelaburan berterusan berkaitan AI.
“Namun begitu, pertumbuhan sektor pembuatan dihadkan oleh kekurangan buruh, kos input yang tinggi, dan keuntungan reshoring yang terhad.
“Di zon euro, pertumbuhan disokong terutamanya oleh perbelanjaan awam dalam pertahanan dan infrastruktur, berserta penurunan inflasi dan dasar monetari yang lebih longgar.
“Bagaimanapun, kekangan struktur dan ruang fiskal yang tidak sekata dijangka mengekang momentum pertumbuhan pada 2026,” katanya.
Sementara itu, China menghadapi pertumbuhan yang tidak sekata, dengan permintaan luar yang kukuh dan daya saing eksport yang menampung keadaan domestik yang lemah akibat kemelesetan hartanah berpanjangan dan keyakinan isi rumah yang suram.
“Di Jepun, pertumbuhan upah yang meningkat menyokong pemulihan permintaan domestik secara berperingkat, walaupun tekanan demografi dan kos pinjaman yang lebih tinggi kekal sebagai cabaran utama,” katanya. –UTUSAN










