PETALING JAYA: “Bersalin ketika Covid-19 rumit dengan memerlukan kekuatan mental serta emosi,”
Itu antara pengalaman pelakon, Nad Zainal atau nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin, 30 melahirkan bayi ketika penularan Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nad berkata, banyak prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi sebelum dan selepas bersalin bagi memastikan kesihatan nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan selamat.
Selain itu, juga Nad juga tidak dibenarkan berjumpanya keluarga sama ada sebelum dan selepas bersalin bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
” Saya rasa kosong dan sunyi sepi lebih-lebih lagi ketika berada di hospital sebaik selesai bersalin. Mujur saya ada bahan bacaan. Bayangkan sebelum bersalin pun saya terpaksa duduk di rumah sahaja dan hadkan aktiviti luar.
“Berbanding ketika melahirkan anak pertama, proses menyambut kelahiran kali ini sukar dan merumitkan dengan pelbagai SOP. Itu belum lagi prosedur lain seperti kebersihan di rumah dan prosedur lain di hospital termasuk menjalani ujian calitan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagi Ummi Nazeera atau nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, SOP ketat terpaksa dipatuhi sepanjang tempoh bersalin dan perlu menjalani ujian swab sebelum bersalin
“ Masuk sahaja minggu ke-37 saya dan suami perlu memastikan kami bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19 dengan menjalani ujian calitan.Para doktor dan kakitangan juga memastikan kami berada dalam keadaan terbaik sebelum menyambut kelahiran demi memastikan kesihatan bayi dalam keadaan terbaik.
“ Bagi ibu mengandung, sudah pasti kita risau apa yang terjadi pada bayi yang dilahirkan nanti. Jika diberi pilihan, kalau boleh masa saya mengandung dan bersalin bukan masa Covid-19 kerana risaukan keadaan bayi dan diri,” jelasnya. – UTUSAN










