Anak-anak beri ruang ibu bapa berpisah di usia senja

Anak-anak beri ruang ibu bapa berpisah di usia senja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCERAIAN tidak hanya berlaku dalam kalangan pasangan muda, atau yang setahun dua berkahwin malah turut terjadi pada usia senja.

Hakikatnya, tempoh puluhan tahun hidup bersama tidak menjamin hubungan kekal bahagia.

Minggu ini saya kongsikan pengalaman seorang anak, Reena (bukan nama sebenar) yang belajar memahami perpisahan ibu bapa di usia senja.

Dalam pertemuan baru-baru ini, Reena berkata, pada awalnya adik-adiknya sukar menerima keputusan ibu bapa mereka untuk bercerai.

Perasaan sedih, keliru, marah dan kecewa bercampur-baur kerana keluarga yang menjadi tempat bergantung tiba-tiba berpisah.

Namun, masa dan kematangan mengajar mereka menerima hakikat.

Anak-anak mula memahami perceraian bukanlah penamat kepada hubungan kasih sayang, sebaliknya pilihan ibu bapa demi kesejahteraan masing-masing selepas 35 tahun berumah tangga.

Menurut Reena, sejak ibu bapa memilih untuk berpisah, dia sering bertanya adakah dirinya cukup peka dengan mereka selama ini.

“Adakah saya dan adik-adik terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan dan kehidupan sendiri sehingga tidak menyedari retaknya rumah tangga,” ujarnya.

Dia benar-benar keliru ketika itu. Bukan tidak faham apa itu perceraian, tetapi sukar menerima kenyataan.

Bercerita lanjut, katanya, sehingga hari ini dia tidak tahu punca sebenar orang tuanya berpisah.

Selama 35 tahun, dia dan adik-adik membesar dalam sebuah rumah yang kelihatan tenang dari luar.

Ibu bapa menjalani peranan mereka dengan sempurna.

Bapa ialah kakitangan kerajaan, manakala ibu pula suri rumah, menguruskan keluarga.

Mereka menjalani kehidupan bahagia tetapi sederhana seperti keluarga lain.

Sebagai anak sulung, Reena mentafsirkan keluarga mereka sudah cukup lengkap.

Ibu tidak pernah mengadu . Bapa tidak pernah mengeluh dan sepanjang tempoh bersama, dia tidak pernah melihat mereka bertengkar.

Rupanya, di situlah masalahnya. Segala yang tidak diluahkan, terkumpul.

Bapa pula terlalu yakin segala apa yang diberikan untuk keluarga sudah cukup dan sempurna.

“Selama lebih tiga dekad, mereka belajar menjadi pasangan yang baik di mata kami anak-anak, keluarga dan orang lain.

“Sebab itu apabila mereka memutuskan untuk berpisah, semuanya terkejut.

“Tiada sebarang tanda atau isyarat ditunjukkan,” ujarnya.

Meneruskan cerita, kata Reena, selepas bercerai, tiada perebutan harta atau perasaan benci wujud antara ibu dan bapa.

Ibu memilih untuk tinggal di rumah tempat mereka adik-beradik dibesarkan.

Rumah itu sudah lama bapa namakan atas nama ibu.

Ibu belajar hidup sendiri dan membuat keputusan tanpa perlu meminta izin bapa seperti sebelumnya.

Bapa pula memilih jalan berbeza. Masih berharap untuk meniti usia tua bersama ibu.

Namun akhirnya bapa belajar untuk menerima cinta yang dipaksa untuk kekal hanya memburukkan lagi hubungan.

Bapa memilih untuk tinggal bersama adik bongsu, Danish, (bukan nama sebenar) yang masih bujang.

“Sebagai anak, saya melihat mereka berpisah dengan cara yang paling baik.

“Perpisahan yang masih menjaga maruah, memelihara amanah dan menyimpan kasih walaupun tidak lagi bersama.

“Saya tidak memihak kepada sesiapa.

“Setelah enam tahun, kami adik-beradik tidak lagi bertanya kenapa mereka berpisah. Saya melihat ibu dan bapa telah menemui kebahagiaan masing-masing,” ujarnya.

Sambung Reena, perceraian itu juga mengajar mereka hakikat yang sangat berharga, kasih sayang ibu bapa tidak pernah berubah.

Walaupun rumah tidak lagi sama dan rutin keluarga berbeza, perhatian serta doa ibu bapa tetap sama.

Mereka tetap bertanya khabar, mengambil berat dan hadir di saat anak menantu serta cucu memerlukan.

Katanya, selepas perceraian, kehidupan mereka tidak terus menjadi tenang.

Namun, sebagai anak mereka berusaha untuk menjalani kehidupan seperti sebelumnya dalam suasana berbeza.

Setiap kali hari raya menjelma, anak menantu dan cucu-cucu tetap berkumpul di rumah lama.

“Dari situ kami belajar perpisahan sebagai pasangan tidak bermakna perpisahan sebagai ibu bapa.

“Kasih tidak pernah berkurang hanya kerana status berubah.

“Setiap kali berkumpul di rumah lama, ibu menyambut dan melayan ayah seperti tetamu yang dihormati.

“Ayah pula hadir dengan adab. Mereka berbual perkara ringan, tentang kesihatan, anak dan cucu,” ceritanya.

Mereka empat beradik memilih untuk kekal menjaga kedua ibu bapa dengan penuh hormat dan kebijaksanaan tanpa memaksa sesiapa kembali ke peranan lama.

Kata Reena, dia banyak belajar perkahwinan bukan sekadar bertahan, tetapi saling memahami, mendengar dan sanggup bersusah-senang bersama.

Akhirnya, dia belajar satu lagi kebenaran yang berat.

Dia bukan hakim dalam perkahwinan ibu bapanya.

Dalam konflik dalaman panjang, dia perlahan-lahan belajar berdamai dengan diri sendiri.

“Sebagai anak, tidak semua perpisahan ibu bapa perlu difahami secara terperinci. Ada perkara yang terlalu berat, peribadi dan terlalu rumit untuk dijelaskan.

“Cukuplah anak-anak tahu ibu bapa membuat keputusan terbaik menurut kemampuan dan keadaan mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Pengajaran daripada kisah minggu ini jelas menunjukkan sebagai anak-anak, kita harus menghormati ruang yang dipilih selepas berpisah.

Menjaga sempadan adalah tanda kematangan.

Tidak semua yang berpisah perlu dijauhkan dan yang dekat perlu dipaksa kembali.

Sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah ayat 229 : “…Kemudian rujuklah dengan cara yang baik atau lepaskan dengan cara yang baik (ihsan)…”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×