BAHASA Melayu sebagai bahasa kebangsaan memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun ilmu di Malaysia. Sejak merdeka, ia bukan sahaja simbol identiti nasional tetapi juga alat penyatuan dalam sistem pendidikan negara.
Kedudukannya diperkukuh melalui Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, serta pelbagai dasar pendidikan yang menempatkan bahasa Melayu sebagai pusat pembangunan ilmiah.
Namun, realiti semasa menunjukkan kedudukan bahasa Melayu dalam akademik sering berdepan cabaran, khususnya isu dualisme bahasa, tuntutan globalisasi dan perdebatan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, termasuk sekolah rendah, menengah dan universiti awam. Peranan ini bukan sekadar mematuhi undang-undang tetapi juga menyatukan rakyat pelbagai kaum di bawah satu platform pendidikan.
Melalui bahasa ini, murid dan pelajar daripada latar budaya berbeza dapat berkongsi ruang ilmu, membina kefahaman budaya serta memupuk semangat perpaduan.
Dalam akademik, bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam subjek kemanusiaan, kesusasteraan, pendidikan dan sains sosial. Banyak hasil penyelidikan, buku ilmiah dan jurnal tempatan diterbitkan dalam bahasa kebangsaan sebagai usaha memperkukuh ekosistem ilmu.
Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi medium pembinaan pemikiran, penyebaran ilmu dan perkembangan tamadun.
Namun, dunia global membawa cabaran baharu dengan bahasa Inggeris semakin dominan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sains, teknologi dan perubatan, termasuk dalam penerbitan jurnal antarabangsa.
Kebergantungan kepada literatur global menyebabkan polarisasi bahasa dengan bahasa Melayu lebih sinonim dengan bidang kemanusiaan, manakala bahasa Inggeris menguasai STEM.
Bagi negara majmuk seperti Malaysia, menyeimbangkan penghormatan terhadap bahasa kebangsaan dan tuntutan global adalah cabaran berterusan. Pengukuhan bahasa Melayu dalam akademik perlu dilakukan secara progresif, agar terus menjadi bahasa ilmu berprestij.
Di universiti awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bahasa Melayu diberi ruang kukuh dalam banyak program akademik. Namun, persaingan dengan bahasa global menyebabkan sebahagian mahasiswa memilih bahan rujukan bahasa Inggeris demi akses ilmiah yang lebih luas. Hal ini menimbulkan persoalan sejauh mana bahasa Melayu dapat terus relevan dalam dunia akademik yang dinamik.
Usaha memperkukuh bahasa kebangsaan termasuk meningkatkan jumlah jurnal berindeks bahasa Melayu, menghasilkan buku ilmiah berkualiti dalam STEM, menggalakkan penyelidikan dwibahasa, memperkukuh pusat bahasa dan terjemahan serta memartabatkan penggunaannya dalam tesis, majlis rasmi dan urusan akademik. Ini bukan menolak kepentingan bahasa Inggeris tetapi memastikan bahasa Melayu kekal sebagai wahana ilmu berdaya saing.
Isu pengiktirafan UEC turut menjadi perdebatan sensitif. UEC ialah sijil sekolah menengah persendirian Cina yang menggunakan Mandarin sebagai bahasa pengantar. Pengiktirafan tanpa standard bahasa Melayu setara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpotensi menjejaskan usaha penyatuan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik utama.
Bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi simbol identiti, perpaduan dan kedaulatan. Masa hadapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bergantung bukan sahaja kepada undang-undang tetapi komitmen seluruh rakyat.
Dengan pendekatan inklusif, berimbang dan berterusan, bahasa kebangsaan dapat terus menjadi teras perpaduan dan kemajuan negara, sambil membina ilmu baharu yang relevan dengan cabaran global.-UTUSAN
MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Politeknik Hulu Terengganu (PHT)










