Bekas panglima, dua isteri direman

Bekas panglima, dua isteri direman

BEKAS Panglima Tentera Darat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam bagi permohonon reman terhadapnya untuk membantu siasatan kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Susulan kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat, bekas panglima pasukan itu direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Dua isterinya juga direman iaitu isteri pertama yang ditahan reman selama tiga hari dan isteri kedua pula selama enam hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Ezrene Zakariah selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Dalam hujahannya di mah­kamah, pegawai penyiasat SPRM memohon perintah reman terhadap suspek utama bagi tempoh tujuh hari atas alasan siasatan melibatkan dakwaan penerimaan wang rasuah secara terancang, dipercayai melibatkan rangkaian rasuah lebih luas serta kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain.

Permohonan reman turut dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti dan merujuk sejumlah besar dokumen berkaitan perolehan, mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat.

Ini termasuk mengesan aset serta proksi yang disyaki digunakan selain menghalang sebarang kemungkinan suspek menghubungi saksi-saksi lain atau mengganggu serta memusnahkan bahan bukti yang masih belum diperoleh sepenuhnya.

Menurut SPRM, kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 3 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan menegaskan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan tersebut.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya kira-kira pukul 10.02 pagi semalam bagi proses permohonan reman terbabit.

Kes berkenaan masih diperingkat siasatan serta belum didakwa di mahkamah dan kesemua mereka belum didapati bersalah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×