KUALA LUMPUR: Mahkamah membenarkan kes rasuah melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing yang sebelum ini difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.
Pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, satu pertuduhan memberi suapan yang dikenakan terhadap Albert di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Disember lalu telah dibacakan semula.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert, 38, mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Pertuduhan tersebut akan dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang difailkan terhadap Albert di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon tarikh sebutan baharu bagi membolehkan pihak pendakwaan menyiapkan serta menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan selaras dengan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan itu dan mengekalkan jaminan serta syarat-syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 4 Disember lalu, Albert mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah keseluruhan RM176,829.03 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memberikan suapan RM100,000 kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan untuk membantu syarikatnya memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia didakwa melakukan perbuatan tu di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishammuddin, di sini, pada 24 November 2023.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580 kepada Pengerusi PKR Melaka itu bagi tujuan sama, di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024.
Bagi pertuduhan ketiga, pada 29 Januari 2024, di lokasi sama, Albert didakwa memberikan suapan RM40,000.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memberikan rasuah berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan sama di sebuah rumah di Jalan P14a 1/1, Presint 14, dekat sini, pada 26 Februari 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN











