PETALING JAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berbanding secara pukal dan tidak terkawal sebelum ini memberikan ruang kepada kerajaan untuk menyusun bantuan kebajikan kepada rakyat dengan lebih tersusun mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, inisiatif yang diberikan sekarang adalah berjangka pendek dan dilihat berjaya menangani keperluan untuk sementara waktu.
“Kerajaan berbelanja mengikut kemampuan kewangan, tidak lagi meminjam untuk memenuhi kos operasi tetapi untuk keperluan pembangunan negara seperti belanjawan.
“Kerajaan telah mensasarkan defisit kepada 3.5 peratus tahun ini, sesuatu yang diakui sasaran yang bagus oleh para penarafan dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman Amanat Tahun 2026 Isnin lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkembangan ini baru sahaja disusun semula selari dengan keupayaan kewangan kerajaan selepas pelaksanaan subsidi bersasar.
Oleh itu, Aimi Zulhazmi berkata, penjimatan belum dirasakan sepenuhnya untuk dimanfaatkan bagi melihat kesan jangka sederhana mahupun jangka panjang.
“Pasti ia belum menyelesaikan masalah kestabilan harga barang, perlindungan pekerjaan dan peningkatan pendapatan isi rumah semasa serta isu pengangguran dalam kalangan belia serta ketidaksepadanan graduan dengan pekerjaan yang ditawarkan industri serta ‘brain-drained’.
“Isu-isu ini mengambil masa dan pelan yang holistik dan ekosistem yang mantap dan berdaya saing,” ujarnya.
Aimi Zulhazmi berkata, pengumuman Perdana Menteri pasti memberikan suntikan kepada ekonomi domestik dan para peniaga pastinya bersedia untuk mengadakan pelbagai barangan keperluan yang akan dibeli pengguna.
Katanya, pengguna pula merancang perbelanjaan mereka selari dengan penerimaan bantuan dari kerajaan, apatah lagi perbelanjaan pasti akan meningkat dengan pelbagai keadaan.
“Antaranya penyediaan pembukaan sekolah untuk tahun baharu pada minggu hadapan, begitu juga persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina yang serentak dengan bermulanya bulan Ramadan pada pertengahan bulan Februari nanti serta perayaan Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan Mac nanti.
“Dua perayaan besar ini akan melonjakkan perbelanjaan isi rumah dan membantu pelbagai sektor ekonomi domestik dari runcit dan borong iaitu makanan dan minuman, pakaian, pengangkutan serta logistik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, momentum ekonomi domestik ini mesti dikekalkan supaya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara terus berkembang baik dan kekal positif berikutan ketidakstabilan permintaan sektor eksport negara akibat kesan ekonomi global yang diselimuti pelbagai faktor geopolitik.
Mengulas mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau berkata, Anwar turut menambah baik bantuan untuk PMKS terus berkembang dan meningkat selari dengan perkembangan ekonomi negara.
“Peningkatan kos perbelanjaan perniagaan PMKS sememangnya banyak dipengaruhi oleh pelbagai perubahan dalam rantaian nilai bekalan untuk setiap produk dan perkhidmatan.
“Penambahbaikan polisi kerajaan seperti dasar gaji minimum, peningkatan Cukai Perkhidmatan (SST), e-invois (memerlukan pembelian perisian) sememangnya meningkatkan kos operasi PMKS sendiri terutama modal kerja dan aliran tunai.
“Ia turut mewujudkan halangan yang lebih sukar untuk bakal usahawan dalam situasi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar besar,” jelasnya.
Tambahnya, bantuan yang diumumkan kerajaan bukan sahaja melibatkan bantuan kewangan tetapi juga berusaha untuk melibatkan sektor PMKS dalam jaringan program bantuan kerajaan kepada rakyat secara langsung.
“Misalnya 10,000 PMKS akan dilibatkan secara langsung dalam program bantuan SARA yang memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN









