KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya berusia lima tahun di sebuah kediaman di Sentul, 2 Januari lalu.
Tertuduh, Norshazlina Izamli, 22, didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal pada anggota badan.
Suri rumah itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 5 petang, di sebuah kediaman di Sentul, 2 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Redzuan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Isnin lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan oleh pihak polis selepas didakwa mendera anak kandungnya sehingga mangsa kehilangan gigi di bahagian depan, luka di bahagian paha kiri dan kanan serta bibir kering dan berdarah.
Pemeriksaan perubatan turut mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam bahagian kepala, telinga, mata, badan, tangan serta kaki.
Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sendiri sebagai penjual makanan dalam talian mempunyai kesalahan lampau membabitkan dadah. – UTUSAN










