Orang Asli sedia urus resort Tasik Chini

Orang Asli sedia urus resort Tasik Chini

KEHIDUPAN anak Orang Asli di Tasik Chini, Pekan, Pahang masih erat dengan alam semula jadi yang menjadi nadi utama untuk rekreasi, sumber makanan dan warisan budaya masyarakat tersebut. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Komuniti Orang Asli di sekitar Tasik Chini di sini, bersedia mengurus dan menghidupkan semula resort pelancongan di kawasan itu yang ditutup dan terbiar sejak 2019 jika diberikan peluang.

Setiausaha Koperasi Orang Asli Tasik Chini Pekan Berhad, Juliana Puling berkata, hasrat itu sudah disampakan wakil komuniti Orang Asli dalam sesi perbincangan kumpulan terfokus (FGD) dan pihak Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) bagi penyediaan pelan pengurusan Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB), November tahun lalu.

Katanya, hasrat itu antara langkah ke hadapan untuk mengangkat semula nama Tasik Chini sebagai destinasi ekopelancongan warisan yang berteraskan pemuliharaan alam, budaya dan komuniti setempat.

“Komuniti Orang Asli melihat penglibatan secara langsung dalam pengurusan resort di tasik semulajadi itu sebagai peluang strategik untuk menjana sumber pendapatan yang mampan kepada komuniti setempat.

“Selain itu, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung sekitar Tasik Chini, meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan sosial Orang Asli serta memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan lestari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Juliana berkata, hasrat itu juga akan dapat memulihara ekosistem tasik semulajadi kedua terbesar negara itu dan warisan budaya Orang Asli sebagai penjaga asal kawasan tersebut.

Menurutnya, dalam menguruskan resort tersebut, komuniti itu memerlukan bimbingan dan sokongan agensi berkaitan dan pihak berkepentingan yang mampu memastikan Tasik Chini dibangunkan semula secara seimbang antara keperluan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan kelangsungan budaya.

“Sehubungan itu, komuniti Orang Asli Tasik Chini berharap agar pihak berkuasa, kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat mempertimbangkan cadangan ini secara serius demi masa depan Tasik Chini yang lebih lestari, berdaulat dan inklusif.

“Tasik ini bukan sekadar destinasi pelancongan tetapi warisan kehidupan kami. Apabila kami diberi ruang untuk mengurusnya, kami akan menjaganya untuk generasi akan datang,” katanya.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, Tasik Chini yang pernah ketika dahulu menjadi kebanggaan negara dan ikon pelancongan alam sekitar bertaraf dunia kini berdepan kemerosotan ketara apabila kerosakan ekosistem dan tiada daya tarikan semula jadi menghimpit kawasan itu.

Walaupun diiktiraf sebagai rezab biosfera, realiti di lapangan memperlihatkan tasik le­genda itu seolah-olah dibiarkan tanpa usaha tuntas sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai tapak pemuliharaan dan pelancongan lestari.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×