PETALING JAYA: Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menandatangani satu perjanjian pembangunan bagi melaksanakan secara bersama sebuah projek kediaman dan komersial di Bintulu, Sarawak.
Projek tersebut akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Development Sdn. Bhd. (SCIB Development) dengan kerjasama pemilik tanah berdaftar Lot 88, Daerah Tanah Kemena, iaitu sebidang tanah kosong seluas kira-kira 11.1 hektar terletak di Sungai Sibiau, Bintulu.
Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men berkata, perjanjian itu selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan asas perniagaannya, sekali gus menandakan langkah pengembangan ke dalam sektor pembangunan hartanah.
“Projek ini membolehkan kami mengembangkan jejak langkah ke dalam pembangunan hartanah sambil memanfaatkan keupayaan kejuruteraan dan pembinaan yang telah sedia ada.
“Bintulu kekal sebagai lokasi strategik dan kami percaya kerjasama ini meletakkan kumpulan pada landasan pertumbuhan mampan dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, tanah berkenaan dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah pembangunan bercampur yang merangkumi komponen kediaman dan komersial.
Pembangunan itu dijangka dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula dengan pembinaan unit kediaman, diikuti pembangunan komersial pada peringkat seterusnya.
Sementara itu, di bawah perjanjian tersebut, SCIB Development akan bertindak sebagai pemaju projek dan bertanggungjawab ke atas perancangan, kelulusan serta pelaksanaan kerja-kerja pembangunan.
Pemilik tanah pula berhak menerima 23 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV) projek, berdasarkan terma yang dipersetujui bersama.
Loong Men berkata, memandangkan projek masih berada pada peringkat perancangan awal, nilai pembangunan keseluruhan serta sumbangan kewangan masih belum ditentukan.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas kumpulan untuk membina platform perniagaan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan dengan menggabungkan kepakaran pembinaan serta peluang pembangunan hartanah terpilih.
“Seiring dengan kemajuan perancangan dan pencapaian pencapaian utama, kumpulan menjangkakan pembangunan ini akan menyumbang secara bermakna kepada strategi pertumbuhan jangka panjangnya, di samping mewujudkan nilai tambah kepada komuniti setempat di Bintulu,” ujarnya. – UTUSAN










