WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilihat semakin bermaharajalela apabila mengeluarkan ugutan ketenteraan secara terbuka terhadap beberapa buah negara.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan global terhadap pendekatan unilateral Washington yang mengabaikan norma diplomasi dan undang-undang antarabangsa.
Tindakan AS ke atas Venezuela, termasuk serbuan ketenteraan bagi menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro, dan kenyataan provokasinya terhadap negara lain di Amerika Latin, memperlihatkan kecenderungan Trump menggunakan kuasa ketenteraan sebagai alat utama dasar luar.
Pendekatan itu bukan sahaja mencetuskan ketegangan serantau, malah menimbulkan persoalan serius mengenai penghormatan AS terhadap kedaulatan negara lain.
Gaya kepimpinan Trump yang berorientasikan keputusan pantas dan retorik keras meminggirkan peranan diplomasi serta institusi antarabangsa.
Bahkan, dalam beberapa kes, tindakan ketenteraan dan ugutan dibuat tanpa mandat jelas daripada Kongres atau sokongan masyarakat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan persepsi kuasa eksekutif semakin dipusatkan di tangan presiden.
Selepas menyerang Caracas dan menangkap Maduro, Trump kini mengalihkan perhatiannya terhadap Columbia dan Cuba, selain ‘mengintai ruang’ untuk meneruskan rancangannya mengambil alih Greenland.
Dalam kenyataan yang turut mencetuskan kontroversi, Trump membayangkan Colombia dan Mexico juga boleh berdepan tindakan ketenteraan sekiranya gagal membendung aliran dadah haram ke AS.
Pemimpin Republikan itu juga dilaporkan mengancam Cuba dan mendakwa sekutu rapat Venezuela itu ‘bersedia untuk tumbang’, selain meremehkan keperluan sebarang tindakan ketenteraan AS di pulau itu.
Campur tangan tentera Washington di Venezuela membangkitkan semula kebimbangan terhadap Greenland, yang berulang kali dikatakan oleh Trump, memandangkan lokasinya yang strategik di rantau itu.
Dalam kenyataan kelmarin, beliau sempat menegaskan Greenland harus menjadi sebahagian daripada AS, meskipun terdapat seruan oleh perdana menteri Denmark untuk berhenti ‘mengancam’ wilayah berkenaan.
“Kita memerlukan Greenland dari sudut keselamatan negara, dan Denmark tidak akan dapat berbuat demikian,” kata Trump. – UTUSAN










