VALENCIA: Pelumba Ducati, Marc Marquez menafikan dakwaan mengatakan dia bakal menyertai Honda dalam saingan MotoGP musim ini malah menganggap khabar angin tersebut lebih kepada teori.
Walaupun menamatkan kontraknya dengan Honda setahun lebih awal untuk menyertai Gresini bagi musim 2024, juara MotoGP tujuh kali itu berpisah dengan pengeluar Jepun tersebut secara baik.
Marquez pada awalnya tidak menutup pintu kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Honda, namun sebarang kepulangan bergantung kepada kebangkitan semula Honda selepas musim terburuk mereka pada 2023.
“Ia lebih kepada teori daripada praktikal. Saya tidak akan membuat sebarang keputusan ketika saya cedera atau tidak berada di atas motosikal. Ia adalah keputusan yang penting, melainkan saya benar-benar pasti mengenainya.
“Saya berada di tempat yang baik sekarang, saya kembali ke tahap terbaik dan inilah masanya untuk membuat keputusan yang betul dan mementingkan diri sendiri, hanya memikirkan apa yang terbaik untuk saya,” katanya.
Dua bulan lalu, Motorsport.com melaporkan bahawa Ducati dan Marquez telah mula membincangkan pembaharuan kontrak sebelum jelajah Asia bermula dan sebelum dia mengesahkan kejuaraan di Jepun.
Walaupun terdapat kesediaan yang jelas daripada kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian baharu, nilai pasaran Marquez telah meningkat ke tahap yang setanding dengan zaman kemuncaknya bersama Honda, sekali gus merumitkan rundingan bagi Ducati. – AGENSI/UTUSAN










