PETALING JAYA: Kementerian Luar Palestin mengecam keras keputusan rejim Israel melucutkan kuasa perancangan dan pembinaan Majlis Perbandaran Hebron di Masjid Ibrahimi yang merupakan pencabulan terang-terangan terhadap status quo perundangan dan sejarah tapak suci itu.
Kedutaan Palestin dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu melibatkan penyerahan kuasa kepada pihak pendudukan haram serta kelulusan projek di Masjid Ibrahimi tanpa persetujuan Palestin.
“Langkah itu jelas melanggar resolusi dan undang-undang antarabangsa, termasuk kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan, selain mencabuli hak sah rakyat Palestin terhadap tapak keagamaan dan warisan sejarah mereka.
“Perampasan kuasa secara paksa jelas membuktikan objektif sebenar Israel bukan pembangunan atau pengurusan, sebaliknya usaha mengukuhkan kawalan dan menukar status sejarah serta perundangan Masjid Ibrahimi,” katanya.
Tindakan tersebut juga dilihat sebahagian daripada agenda berterusan Israel untuk melaksanakan projek Yahudisasi di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus mengenepikan sepenuhnya kerangka undang-undang antarabangsa dan pendirian badan dunia.
Katanya, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah memasukkan Bandar Lama Hebron dan Masjid Ibrahimi ke dalam Senarai Warisan Dunia dalam Bahaya atas nama negara Palestin.
Pengiktirafan antarabangsa itu jelas mengesahkan kedaulatan Palestin ke atas Hebron dan Masjid Ibrahimi, selain menyediakan rangka perlindungan undang-undang antarabangsa terhadap sebarang cubaan mengubah status tapak berkenaan.
“Sebarang langkah sepihak oleh Israel untuk mengubah status sejarah, undang-undang dan kebudayaan Masjid Ibrahimi adalah ditolak sama sekali oleh komuniti antarabangsa dan tidak mempunyai sebarang hak.
“Keputusan terbaharu Israel itu, adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa serta membawa ancaman serius terhadap identiti Palestin dan keselamatan tapak-tapak suci agama,” katanya.
Sehubungan itu, Palestin memberi amaran bahawa tindakan berkenaan boleh mencetuskan ketegangan lebih besar di wilayah yang diduduki dan menjejaskan kestabilan serantau sekiranya tidak dibendung segera.
“Palestin akan terus menggerakkan usaha diplomatik dan perundangan bersama rakan antarabangsa bagi mengekang pencabulan tersebut serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan yang menyalahi undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










