Tuduhan tanpa bukti jejaskan kredibiliti pegawai ATM

Tuduhan tanpa bukti jejaskan kredibiliti pegawai ATM

MOHAMED Khaled Nordin pada Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Kampung Makam di Kota Tinggi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk ra­suah atau penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai ter­tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya memandang serius setiap aduan dan laporan yang diterima khususnya membabitkan salah laku integriti dalam organisasi pertahanan negara.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga aduan bersifat tuduhan tanpa bukti yang kukuh yang berpotensi menjejaskan kredibiliti serta nama baik ATM sekiranya dibiarkan berlarutan.

“Kita tidak memaafkan apa-apa unsur rasuah penyalahgunaan kuasa yang berlaku terutamanya dalam Kementerian Pertahanan. Dari masa ke masa memang kita terima aduan dan sebagainya. Akhir-akhir ini adu­an itu beserta dengan pelbagai bukti yang mungkin tak dapat nak dinafi atau disangkal.

“Tetapi ada juga aduan-adu­an yang bersifat sebagai satu tuduhan yang tidak ada bukti. Baru-baru ini pun saya lihat yang dikeluarkan itu sesuatu tuduhan yang sebenarnya tidak disertakan dengan bukti.

“Kalau ini berlarutan memang akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM,” katanya pada sidang akhbar selepas mengha­diri Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Kampung Makam di Kota Tinggi semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, aktivitis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan ATM berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram.

Mohamed Khaled berkata, pengisytiharan harta pegawai tertinggi ATM telah dilaksanakan menerusi mekanisme dalaman yang teratur di peringkat jabatan masing-masing.

“Setiap pelantikan, kita memang akan dapatkan maklumat dan input daripada agensi-agensi dan jabatan-jabatan tertentu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya.

“Jadi dari situ memang kita akan tahu harta-harta yang ada dan sebagainya. Untuk urusan dalaman, bukan diisytihar kepada umum,” katanya.

Katanya pihak terjejas de­ngan tuduhan tanpa bukti terbabit akan mengambil tindakan perundangan yang sesuai sekiranya terbukti tuduhan-tuduhan itu bersifat fitnah.

“Tentunya saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan pastikan tindakan-tindakan sesuai yang perlu dilakukan supaya fitnah ataupun persepsi negatif ini dapat dihalang supaya tidak menjejaskan nama baik ATM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×