Kos kesihatan AS dijangka melambung tinggi pada 2026

Kos kesihatan AS dijangka melambung tinggi pada 2026

PAPAN tanda Obamacare dipaparkan di luar agensi insurans di Miami, Florida.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lebih 20 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana berdepan kenaikan ketara kos insurans kesihatan pada 2026.

Kenaikan kos insurans kesihatan dijangka melonjak mendadak pada Januari apabila subsidi kerajaan tamat tempoh, selepas Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump menolak untuk melanjutkannya.

Ia berlaku ketika inflasi berterusan terus membebankan isi rumah serta menambah tekanan politik terhadap Trump, yang sebelum ini berjanji untuk menurunkan kos sara hidup apabila mengambil alih jawatan hampir setahun lalu.

“Ia amat menekan bagi ramai orang,” kata pesara di negeri Midwest, Nebraska, Audrey Horn, 60, sambil memberitahu bayaran bulanannya akan meningkat sebanyak AS$300 (RM1,216).

Ditubuhkan pada 2010 di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, program yang dikenali sebagai Obamacare membolehkan berjuta-juta rakyat mendapatkan perlindungan kesihatan.

Program tersebut merangkumi bantuan kewangan, yang kemudiannya diperluas dan diperkukuh semasa pandemik Covid-19.  Namun, rangsangan sementara itu kini bakal berakhir.

Isu berkenaan menjadi teras kebuntuan bajet antara Republikan dan pembangkang Demokrat pada Oktober serta November, membawa kepada penutupan kerajaan persekutuan selama 43 hari.

Demokrat menuntut agar subsidi yang dipertingkatkan itu dilanjutkan, namun ditentang Republikan yang berhujah langkah tersebut terlalu mahal untuk pembayar cukai, tertakluk kepada penyalahgunaan serta gagal mengawal peningkatan kos insurans kesihatan.

Menurut anggaran kerajaan, penamatan subsidi tersebut dijangka menyebabkan empat juta rakyat AS kehilangan insurans kesihatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Badan pemikir dasar kesihatan KFF, Matt McGough berkata, dianggarkan 10 juta lagi mungkin tidak diinsuranskan kerana perubahan di bawah rang undang-undang belanjawan terhadap pasaran insurans kesihatan serta program Medicaid yang dibiayai kerajaan negeri untuk golongan berpendapatan rendah.

“Ia adalah penurunan terbesar untuk perlindungan kesihatan dalam sejarah AS, khususnya pada zaman moden,” katanya kepada AFP.

Beliau memberi amaran keadaan itu boleh membawa kepada peningkatan kadar kematian dan kos penjagaan kesihatan lebih tinggi untuk semua rakyat Amerika, apabila individu yang diinsuranskan terpaksa menanggung bil perubatan mereka yang tidak mempunyai insurans.

Walaupun Republikan masih enggan melanjutkan subsidi tersebut, mereka mahu mengehadkan lonjakan kos yang bakal berlaku kurang daripada setahun sebelum pilihan raya pertengahan penggal Kongres.

Pihak Demokrat pula menjadikan isu ini sebagai teras platform pilihan raya mereka dalam usaha merampas semula kawalan kedua-dua dewan Kongres daripada Republikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×