PETALING JAYA: TA Securities Holdings Berhad mengunjurkan pendapatan bukan faedah (non-NII) sektor perbankan berkembang sebanyak 9.6 peratus pada 2026, disokong oleh strategi silang jual, keuntungan dagangan dan pelaburan serta inisiatif berstruktur yang memanfaatkan hubungan pelanggan, ketidaktentuan pasaran dan segmen khusus.
Firma pembrokeran berkata, bank-bank besar dijangka mendapat manfaat daripada skala dan dominasi serantau dalam pengurusan kekayaan serta pasaran modal, manakala bank-bank lebih kecil berusaha kekal kompetitif melalui kerjasama, penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta pelaburan digital.
Katanya, bank dijangka mengimbangi pelaburan strategik dengan pengurusan kos yang berdisiplin, memandangkan perbelanjaan operasi meningkat sekitar 6.0 peratus pada 2026 susulan tekanan inflasi dan perbelanjaan teknologi yang berterusan.
“Kos kakitangan dikawal melalui pengambilan pekerja yang terkawal dan penempatan semula ke peranan bernilai lebih tinggi, sementara pelaburan teknologi yang lebih besar bertujuan memperkukuh keupayaan jangka panjang.
“Secara keseluruhan, nisbah kos kepada pendapatan (CIR) sektor diunjurkan kekal secara amnya stabil pada 46.4 peratus, apabila pertumbuhan pendapatan yang konsisten mengimbangi tekanan kos dan menyokong keuntungan,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securities berkata, kualiti aset dalam sektor perbankan kekal berdaya tahan, dengan pinjaman terjejas menunjukkan trend menurun, susut 3.8 peratus.
Menurutnya, prestasi lebih baik tahun ke tahun dicatatkan merentas portfolio pengguna (-0.6 peratus) dan perniagaan (-7.9 peratus).
Jelasnya, caj kerugian pinjaman kekal dalam julat panduan, meskipun nisbah perlindungan berbeza antara institusi.
“Menjelang 2026, prospek keseluruhan adalah stabil, disokong oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan, walaupun bank mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap segmen yang terdedah.
“Kos kredit kasar dijangka kekal terkawal pada 26 hingga 27 mata asas (bps), manakala nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) purata sektor diunjurkan kekal sekitar 1.4 peratus,” jelasnya.
Tambahnya, strategi pemilihan saham mereka pada 2026 adalah dengan menumpukan pertumbuhan pinjaman perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan sebagai pemacu utama pengembangan kredit, dilengkapi dengan pembiayaan sasaran berpulangan tinggi untuk mengukuhkan margin dan keuntungan.
“Kami melihat potensi peningkatan yang ketara daripada peluang silang jual merentas pengurusan kekayaan, perkhidmatan pelanggan dan pasaran modal, yang dapat mempelbagaikan aliran pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan tradisional.
“Bank-bank besar yang berteraskan teknologi berada pada kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada ekonomi skala dan penerapan digital, sekali gus menangkap kecekapan dan mengekalkan kepimpinan daya saing dalam landskap yang berkembang pesat.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor ini, dengan CIMB Group Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) RM8.45, Malayan Banking Berhad (TP: RM11.40) dan Alliance Bank Malaysia Berhad (TP: RM5.30) sebagai pilihan utama kami,” ujarnya. – UTUSAN










