PETALING JAYA: Prestasi ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan kumulatif sebanyak 4.7 peratus dalam tiga suku pertama 2025, walaupun menurun berbanding 5.2 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disokong secara menyeluruh oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan serta permintaan domestik yang stabil.
“Bagi sektor perkhidmatan, jumlah jualan dalam perdagangan borong dan runcit mencecah RM160.9 bilion pada Oktober lalu, mencatat peningkatan 7.2 peratus tahun ke tahun.
“Perdagangan borong mencatatkan jualan RM71.2 bilion, meningkat RM4.8 bilion berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan aktiviti komersial yang kukuh, manakala perdagangan runcit pula menyumbang jualan RM69.3 bilion, meningkat RM4.4 bilion disokong permintaan pengguna yang stabil.
“Subsektor kenderaan bermotor turut menunjukkan peningkatan baik dengan jualan RM20.4 bilion sebanyak 8.2 peratus berbanding Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, sektor pembuatan turut berkembang 6.5 peratus, diikuti perlombongan (5.8 peratus) dan elektrik (1.2 peratus) dengan pengeluaran perindustrian meningkat 2.1 peratus walaupun mencatat penyusutan marginal pada September.
Momentum itu terus mengukuh pada Oktober lalu dengan jumlah nilai jualan meningkat 6.3 peratus tahunan kepada RM171.7 bilion, subsektor produk elektrik dan elektronik berkembang 11.5 peratus, didorong output yang lebih tinggi dalam industri serta permintaan lebih meluas merentasi subsektor pembuatan lain.
Sementara itu, dari segi perdagangan luar, perdagangan barangan tempatan meningkat 13.6 peratus kepada RM277.6 bilion pada Oktober lalu, dipacu pertumbuhan eksport sebanyak 15.7 peratus kepada RM148.3 bilion, manakala aktiviti import meningkat 11.2 peratus kepada RM129.3 bilion dengan lebihan dagangan kekal RM19.0 bilion.
Prestasi positif tersebut berterusan pada November 2025 apabila jumlah perdagangan meningkat 11.1 peratus kepada RM263.8 bilion, namun lebihan dagangan mengecil kepada RM6.1 bilion.
“Dari sudut harga, kadar inflasi negara menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober lalu berbanding 1.5 peratus pada September yang dipengaruhi oleh kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kumpulan makanan dan minuman (1.5 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.1 peratus).
“Namun, kenaikan harga lebih tinggi dicatatkan bagi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (6.0 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (3.4 peratus) serta kesihatan (1.5 peratus), menjadikan kadar inflasi meningkat sedikit kepada 1.4 peratus pada November,” katanya.
Berdasarkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR), pengeluaran tempatan menurun 1.8 peratus pada November selepas susut 0.1 peratus pada Oktober, mencerminkan turun naik berterusan harga pengeluar
Bagi pasaran buruh pula, kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus pada Oktober, manakala kadar penyertaan tenaga buruh stabil pada 70.9 peratus, menggambarkan situasi pasaran pekerjaan yang berdaya saing.
Mengulas prospek, Indeks Pelopor Malaysia meningkat 3.6 peratus kepada 116.2 mata pada Oktober 2025, menunjukkan trajektori ekonomi yang lebih positif dalam jangka pendek. – UTUSAN










