PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dijangka sukar untuk mengekalkan sokongan bukan Melayu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN dan beberapa pemimpin utama lain.
Pengerusi Urimai, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai kecenderungan politik mono-etnik (satu kaum) namun parti itu dilihat sebagai jambatan antara PN dan masyarakat bukan Melayu di negara ni.
Katanya, golongan bukan Melayu melihat Pas sebagai ekstrem namun lebih selesa dengan pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kini kedua-dua pemimpin ini tidak lagi berada dalam PN, mungkin akan timbul kesukaran untuk membina hubungan dengan masyarakat bukan Melayu di negara ini.
“Walaubagaimanapun, tiada apa yang menghalang Muhyiddin daripada memperkukuh dan meluaskan gabungan pembangkang yang lebih besar di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN bermula esok.
Susulan pengumuman itu, beberapa Pengerusi PN di peringkat negeri iaitu bermula dengan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal turut mengambil pendekatan sama sebelum disusuli Pengerusi PN Selangor, Mohamad Azmin; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.
Ramasamy mendakwa, konflik antara dua parti politik itu telah lama membara susulan pelbagai isu politik.
Katanya, dominasi Pas daripada segi sokongan pilihan raya serta jumlah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah lebih tinggi berbanding Bersatu, namun dari sudut pengalaman dan pendedahan di peringkat nasional, Bersatu mempunyai kelebihan.
“Saya tidak fikir terdapat sesiapa dalam Pas yang dapat menandingi pengalaman dan pendedahan nasional Muhyiddin, yang merupakan menteri Persekutuan untuk tempoh yang panjang serta bekas Perdana Menteri.
“Begitu juga Azmin Ali, bekas Menteri Besar Selangor dan menteri Persekutuan merupakan tokoh penting dalam Bersatu dan juga dalam gabungan pembangkang PN.
“Sebagai perbandingan, Pas walaupun mempunyai kelebihan dari segi sokongan pilihan raya berbanding Bersatu, tetap bersetuju untuk membenarkan Muhyiddin memimpin gabungan PN.
“Namun, seperti lazimnya dalam politik, ketidakseimbangan antara Pas dan Bersatu dari segi pengalaman, ideologi politik dan faktor-faktor lain telah menjadi punca geseran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN telah menolak idea kebangkitan semula Muafakat Nasional (MN) yang hangat diperkatakan sebelum ini.
Tambahnya, idea menghidupkan semula MN antara UMNO dan Pas berkemungkinan telah merosakkan peluang PN untuk muncul sebagai alternatif kerajaan yang berkredibiliti.
“Sekiranya MN dihidupkan semula antara UMNO dan Pas, ia akan memberikan tamparan besar kepada gabungan pemerintah sedia ada, dengan DAP terpinggir ke pinggiran politik.
“Walaupun Bersatu mungkin mengalu-alukan idea DAP disingkirkan daripada kerajaan, kebangkitan semula MN merupakan satu cabaran langsung terhadap kesinambungan pengaruh Bersatu dalam politik Malaysia.
“Jika MN dihidupkan semula, Pas mungkin akan meninggalkan Bersatu dengan memeluk UMNO,” katanya. – UTUSAN










