Pemandu maut tren bertembung di Machu Picchu, puluhan penumpang cedera

Pemandu maut tren bertembung di Machu Picchu, puluhan penumpang cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Seorang pemandu kereta api maut manakala sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam perlanggaran hadapan antara dua tren berhampiran Machu Picchu, destinasi pelancongan paling terkenal di Peru.

Menurut kenyataan kerajaan tempatan, dua kereta api tersebut bertembung di laluan landasan tunggal menuju ke bandar purba Inca.

Pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 20 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian dan mangsa yang cedera  dipindahkan ke beberapa fasiliti perubatan di bandar Cusco.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Peru berkata, beberapa warga AS turut cedera dalam kemalangan itu, namun pihak polis masih belum mengesahkan identiti mangsa yang terlibat.

Media tempatan, Peru21, melaporkan, ratusan pelancong masih berada di lokasi kejadian sementara menunggu pemindahan, yang terjejas akibat keadaan muka bumi yang sukar di sekitar tapak kemalangan.

Seorang pegawai kesihatan memberitahu agensi berita Reuters, sekurang-kurangnya 20 daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius.

Perlanggaran tersebut berlaku di laluan yang menghubungkan Stesen Ollantaytambo dan Aguas Calientes, bandar terdekat ke Machu Picchu. Perjalanan antara kedua-dua stesen itu lazimnya mengambil masa sekitar 90 minit.

Dua kereta api yang terlibat dalam kemalangan itu masing-masing dikendalikan oleh PeruRail dan Inca Rail.

“Kami amat kesal dengan apa yang berlaku,” kata PeruRail dalam satu kenyataan, sambil menambah kakitangannya segera memberikan bantuan kecemasan kepada pemandu kereta api, konduktor serta penumpang yang terlibat.

Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui dan sedang disiasat oleh pihak berkuasa.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×