CAMERON HIGHLANDS: Masalah kesesakan trafik yang berlaku setiap kali cuti persekolahan dan hujung minggu tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke Cameron Highlands.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kesesakan trafik sering berlaku di kawasan Kea Farm sehingga ke pekan-pekan lain seperti Brinchang dan Tanah Rata.
Walaupun ramai yang mengeluh dengan isu itu namun mereka tetap berpuas hati kerana dapat melancong ke Cameron Highlands.
Mohd. Johari Abd. Manan, 53, yang menyertai rombongan dari Batang Kali, Selangor berkata, kesesakan trafik merupakan masalah yang tidak dapat dielakkan apabila ke tanah tinggi tersebut.
Menurutnya, malah bas rombongan yang dinaikinya terperangkap lebih sejam di kawasan Kea Farm sebelum dapat meneruskan perjalanan ke Brinchang.
“Semasa sampai di sini semalam (kelmarin) memang berlaku kesesakan trafik terutama di Kea Farm. Bagi saya kesesakan perkara yang tidak dapat dielakkan kerana pengunjung yang ramai semasa musim cuti sekolah.
“Namun kami semua berpuas hati kerana tetap dapat melawat tempat menarik di sini. Apa yang penting kami datang untuk merasai cuaca sejuk di sini yang tiada di tempat lain.
“Mengenai kesesakan trafik, pihak berkenaan mungkin sudah membuat kajian untuk mengatasinya. Kalau kurang sesak, tentunya lebih seronok berjalan-jalan di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam..
Zuraidah Abdul Syukur, 37, dari Sungai Petani, Kedah pula berkata, kali terakhir dia berkunjung ke sini kira-kira lima tahun lalu dan kedatangannya kali ini dia dapat merasakan Cameron Highlands semakin sesak.
Katanya, suasana di sini juga semakin moden dan semakin banyak pembangunan seperti hotel dan kedai.
“Kami tiba di sini pukul 3 pagi, ketika itu memang jalan raya lengang. Namun apabila siang, kami dapat melihat keadaan kesesakan trafik hampir di sepanjang jalan naik ke sini.
“Apabila ramai yang datang ke sini sudah tentu berlaku kesesakan kerana musim cuti sekolah ketika ini. Walaupun memang diketahui Cameron Highlands sentiasa sesak pada musim cuti, namun pelancong tetap datang.
“Ini menunjukkan Cameron Highlands tetap menjadi pilihan kerana cuacanya yang sejuk, tiada tempat lain yang boleh kita rasai cuaca sebegini di Malaysia, hanya di sini,” katanya.-UTUSAN










