PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka tempoh khas untuk menerima permohonan kuota penggajian pekerja asing untuk tahun 2025 bermula 19 Januari hingga 31 Mac 2026.
KDN dalam kenyataan memaklumkan, pembukaan tempoh khas itu melibatkan permohonan bagi semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan kerajaan pada 1 Oktober 2025 tertakluk kepada pematuhan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Menurut kementerian, ia termasuk permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal.
“Bagaimanapun, permohonan kuota penggajian pekerja asing masih diterima sehingga tarikh akhir yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 31 Disember 2025,” menurut kenyataan.
KDN turut memaklumkan, semua permohonan yang diterima dalam tempoh khas bermula 19 Januari hingga 31 Mac 2026 akan dibincangkan bersama kementerian penyelia berkaitan untuk pertimbangan dan tertakluk kepada syarat-syarat yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, KDN mengingatkan semua majikan supaya mengemukakan permohonan secara terus tanpa pengantaraan ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing KDN.
“Bagi melancarkan urusan permohonan sepanjang tempoh khas berkenaan, majikan dikehendaki membuat temujanji terlebih dahulu menerusi sistem temujanji yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi KDN bermula 16 Januari 2026,” katanya.
Menurut KDN, kemudahan tempoh khas itu diharap dapat membantu majikan mengemukakan permohonan secara lebih teratur dan terancang.
“Langkah ini selaras dengan iltizam Kerajaan Madani untuk terus peka terhadap keperluan industri serta komitmen meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh dirujuk di laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri. – UTUSAN










