Nilai emas sentiasa meningkat, jarang merugikan pembeli

Nilai emas sentiasa meningkat, jarang merugikan pembeli

BARANG kemas bukan sahaja perhiasan, malah boleh dijadikan sebagai pelaburan emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBELIAN emas terus menjadi pilihan utama masyarakat tempatan sebagai bentuk pelaburan jangka panjang yang selamat, khususnya apabila harga emas dilihat stabil dan kalis inflasi.

Ketidaktentuan ekonomi mendorong semakin ramai pengguna beralih kepada emas sebagai aset perlindungan nilai, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam perancangan kewangan jangka panjang.

Pembeli emas, Norafizah Abu Zahar, 43, berkata, dia sentiasa memilih untuk membeli emas di kedai emas yang menawarkan harga lebih murah.

Menurutnya, emas bukan sahaja berfungsi sebagai aset simpanan, malah mudah dicairkan ketika kecemasan, menjadikannya pelaburan yang praktikal dan berisiko rendah.

“Nilai emas biasanya meningkat dari semasa ke semasa dan jarang merugikan. Sebab itu saya melihat emas sebagai simpanan kecemasan dan pelaburan jangka panjang yang selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambahnya, peningkatan harga emas memberi manfaat kepada pemiliknya, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Trend pembelian emas dijangka terus meningkat selari dengan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan kewangan dan perlindungan nilai aset.

Sementara itu, Norsazalina Hassim, 40 berkata, emas terus mendapat tempat sebagai instrumen kewangan pilihan masyarakat berikutan sifatnya yang stabil dan berupaya melindungi nilai simpanan daripada kesan inflasi.

“Emas bukan sahaja berfungsi sebagai simpanan nilai jangka panjang, malah mudah dicairkan apabila diperlukan, menjadikannya aset yang praktikal khususnya dalam situasi kecemasan. Harga emas yang menunjukkan trend peningkatan dari semasa ke semasa turut mengukuhkan kedudukannya sebagai pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

“Selain itu, emas dilihat sebagai aset patuh syariah kerana ia merupakan aset fizikal sebenar dan bebas daripada unsur riba,” katanya.

Menurutnya, keistimewaan ini menjadikannya pilihan utama dalam kalangan pelabur yang mementingkan pematuhan prinsip kewangan Islam.

“Emas juga mempunyai nilai tambahan kerana boleh digadai sebagai cagaran untuk mendapatkan tunai serta mudah disimpan dan diwariskan kepada generasi seterusnya. 

“Faktor-faktor ini menjadikan emas bukan sekadar perhiasan, malah aset kewangan yang bernilai tinggi dan strategik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×