KUALA LUMPUR: Seorang pemilik motosikal Yamaha Y15ZR atau ‘Ysuku’ sanggup berhabis duit gaji sehingga RM18,000 untuk ubah suai kenderaan hanya kerana mahu dilihat gah dalam kalangan rakannya.
Tindakan itu bagaimanapun dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi melibatkan modifikasi termasuk penggunaan ekzos, tiada brek depan atau belakang, tayar sotong selain enjin berkuasa tinggi.
Operasi Op Pelbagai itu dijalankan JPJ Putrajaya bersama JPJ Kuala Lumpur di susur Genting Sempah, Plaza Tol Gombak dan sekitar ibu negara seperti Jalan Ampang.
Menerusi operasi di Jalan Ampang mendapat terdapat cubaan penunggang motosikal melawan arus, membuat pusingan U secara haram serta memecut laju semasa ditahan anggota operasi.
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan masih bersekolah yang ditahan bersama rakannya kerana menunggang motosikal tanpa lesen menangis keresahan apabila Honda Vario 160 milik bapanya disita JPJ.
“Saya cuma jalan-jalan nak pergi makan sahaja dengan kawan (pembonceng).
“Mak tak tahu saya keluar. Takut nak call mak, nanti kena marah,” katanya dalam nada sebak selepas ditahan di Jalan Ampang di sini malam tadi.
Sementara itu Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 63 motosikal diubah suai secara ekstrem disita dalam operasi bermula pukul 10 malam itu.2
Katanya, sebanyak 3,244 kenderaan diperiksa dan 811 saman dikeluarkan sepanjang operasi.
“Malam ini tangkapan penunggang motosikal paling muda berusia 14 tahun yang berada di atas jalan raya dengan motosikal diubah suai,” ujarnya.
Tambah beliau, berdasarkan temu siasat, sebuah motosikal diubah suai dengan kos tinggi sekitar RM5,000 hingga RM18,000 dan boleh dibayangkan bagaimana pembaziran dilakukan hanya mahu bersuka-suka.
Jelasnya, tangkapan ini pelbagai latar belakang mengggambarkan seriusnya isu sebegini.
“Operasi ini hasil rungutan dan aduan orang awam di sekitar bandaraya yang tidak selesa dengan bunyi bising, cara pemanduan dan aksi dipamerkan. Ibu bapa sila jaga pergerakan anak masing-masing.
“Dipercayai tujuan ubah suai motosikal ini untuk kelajuan, kuatkan bunyi…bila motosikal semakin ekstrem mereka rasakan lagi gah di kalangan rakan. Kita syak ada untuk lumba haram,” ujarnya.
Tegas beliau, JPJ kekal komited bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara selain menangani isu kemalangan.
“Pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh, merangkumi pematuhan spesifikasi teknikal, penggunaan nombor pendaftaran yang sah, pematuhan syarat lesen memandu dan cukai jalan,” katanya. – UTUSAN









