PETALING JAYA: Kerajaan komited memperkukuhkan ekonomi negara melalui pelaburan berkualiti serta hubungan antarabangsa, sekali gus membuka ruang strategik memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan kerajaan Madani hari ini adalah hasil kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat.
Beliau berkata, di dalam negara, ekonomi terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif.
“Malah, di peringkat antarabangsa, hubungan antara kerajaan, pelbagai negara, kumpulan pemimpin, membuka ruang pelaburan strategik serta memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu, hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan,” katanya dalam Facebook hari ini.
Katanya kerajaan akan terus melangkah ke hadapan berkhidmat dengan amanah, dan membina negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua dengan sokongan padu keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia. – UTUSAN










