Jangan alpa kewajipan fidyah puasa

Jangan alpa kewajipan fidyah puasa

INDERA SHAHRIL MOHD SHAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan semakin hampir bagi umat Islam sedunia bertemu bulan penuh rahmat untuk melatih diri menjadi Muslim yang terbaik.

Salah satu ibadah wajib ditunaikan pada bulan mulia ini adalah berpuasa pada siang hari bagi setiap Muslim yang mukallaf, sihat, dan berkemampuan.

Namun, bagi wanita yang dalam keadaan haid atau nifas, puasa tidak wajib sehingga suci.

Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, Pengarah Baitulmal Selangor, Indera Shahril Mohd. Shahid berkata, kewajipan berpuasa juga terangkat bagi orang tua yang benar-benar tidak mampu.

Indera Shahril Mohd. Shahid
Asal: Sabak Bernam, Selangor dan dibesarkan di Negeri Sembilan
Pekerjaan: Pengarah Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor
Pendidikan: Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya
Diploma Lanjutan Undang-Undang Syariah dan Amalan Guaman Syarie, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Katanya, golongan ini dibolehkan tidak berpuasa tetapi perlu membayar fidyah sebagai penebusan.

“Orang sakit atau bermusafir juga dibenarkan berbuka, tetapi perlu menggantikan puasa kemudian.

“Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 184, yang bermaksud: ‘Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;

“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

“Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.’

“Ayat ini menjelaskan, bagi mereka yang tidak mampu, fidyah menjadi jalan penyelesaian tanpa mengabaikan kewajipan agama,” katanya.

Sebahagian masyarakat kurang cakna mengenai qada’ puasa. Ramai menangguh sehingga Ramadan berikutnya, yang akhirnya menambah tanggungan.

Jelasnya, jika qada’ ditangguh, kewajipan bertambah iaitu puasa perlu diganti dan fidyah juga wajib dibayar.

“Fidyah bukan sekadar bayaran, tetapi satu ibadah gantian yang diberi pahala kepada pelakunya,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya’ (Riwayat al-Tirmizi).

Shahril berkata, golongan yang perlu fidyah termasuk orang tua, sakit kronik, wanita hamil atau menyusui, dan mereka yang menangguh qada’ puasa.

“Bagi umat Islam yang telah meninggal dunia dengan hutang puasa, waris mereka juga perlu menguruskannya melalui fidyah.

“Kecuali orang tua, sakit kronik, dan yang meninggal dunia, selain fidyah, puasa wajib diganti mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

“Kadar fidyah ditentukan berdasarkan zakat fitrah, sebagai contoh di negeri-negeri tertentu.

“Golongan yang mampu digalakkan menunaikan lebih mengikut harga beras yang dimakan setiap hari,” jelasnya.

Shahril berkata, sebagai contoh di Selangor, tahun 2025 kadar zakat fitrah ialah RM7 seorang. Golongan berkemampuan boleh menunaikan lebih mengikut jenis beras: RM15-RM22 seorang.

“Jadi, fidyah sehari adalah RM2-RM6.30 termasuk upah pengurusan 15 peratus, bergantung jenis beras yang dimakan,” ujarnya.

Katanya, bayaran fidyah boleh dibuat melalui sistem e-MAIS, kaunter Baitulmal, atau pejabat agama daerah masing-masing bagi memudahkan umat Islam menunaikannya.

“Agihan fidyah dibuat dalam bentuk beras, makanan, atau wang kepada fakir miskin, memastikan hak mereka terbela,” katanya.

Dengan menunaikan fidyah dan qada’ puasa, Muslim dapat memastikan tanggungjawab agama dipenuhi tanpa menjejaskan ibadah utama.

“Ramadan ini adalah peluang untuk memperbaiki diri, menunaikan fidyah dan menggantikan puasa dengan penuh keinsafan serta kesedaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×