Lapan individu terlibat kekecohan di Kampung Sungai Baru akan dituduh - Utusan Malaysia

Lapan individu terlibat kekecohan di Kampung Sungai Baru akan dituduh

FADIL Marsus bergambar bersama pengamal media pada Majlis Minum Petang Apresiasi Polis Kuala Lumpur Bersama Media 2025 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapan individu yang ditahan susulan kekecohan di Kampung Sungai Baru di sini sehingga mencederakan Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman pada 11 September lalu akan dituduh dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pertuduhan adalah melibatkan kesalahan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang selepas arahan bersurai dikeluarkan pihak berkuasa.

Menurutnya, kesemua mereka akan dituduh di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan.

“Selain itu seorang individu pula dituduh di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan.

“Kertas siasatan telah selesai disiapkan dan polis telah menerima arahan untuk membawa pertuduhan daripada pendakwa raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang Apresiasi Polis Kuala Lumpur Bersama Media 2025 di sebuah hotel hari ini.

Pada 11 September lalu, Suzilme Affendy cedera selepas terkena batu yang dibaling penduduk ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.

Beliau mengalami luka dan berdarah pada bahagian muka.

Fadil berkata, menghalang penjawat awam adalah kesalahan serius dan pertuduhan yang akan dikemukakan merupakan langkah wajar.

“Tindakan tegas itu diambil sebagai peringatan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan kekacauan awam atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata, siasatan berhubung satu kes amang seksual membabitkan seorang murid di sebuah sekolah agama di Kampung Pandan masih diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×