KOTA TINGGI: Pantai Batu Layar bertukar meriah apabila dipenuhi pengunjung dari pelbagai negeri yang mengambil kesempatan berkelah dan mandi laut sempena cuti Krismas di sini hari ini.
Seawal pagi, kawasan pesisir pantai itu sudah dikunjungi keluarga dan rakan-rakan yang ingin menikmati suasana laut meskipun keadaan ombak dilaporkan sedikit bergelora.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang menghampar tikar, bermain pasir, bermandi-manda serta merakam gambar kenangan bersama ahli keluarga masing-masing.
Suasana riuh rendah jelas kedengaran dengan gelak tawa kanak-kanak yang berlari di gigi air, manakala sebahagian pengunjung memilih berehat di bawah rimbunan pokok sambil menikmati bekalan makanan yang dibawa dari rumah.
Pantai Batu Layar terus menjadi pilihan pengunjung kerana lokasinya yang strategik, mudah diakses serta menawarkan suasana semula jadi yang masih terpelihara, sekali gus sesuai dijadikan destinasi riadah keluarga sepanjang musim cuti.-UTUSAN








