Mayat remaja lemas ditemukan selepas bapa saudara laung azan - Utusan Malaysia

Mayat remaja lemas ditemukan selepas bapa saudara laung azan

MAYAT Hani Suefyan Hanizam yang hilang sejak semalam selepas mandi-manda bersama rakannya di Pantai Batu Layar berjaya dijumpai pukul 5.20 petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Mayat remaja yang hilang ketika mandi-manda bersama rakannya di Pantai Batu Layar semalam  ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas. 

Mayat Hani Suefyan Hanizam, 16, ditemukan pada pukul 5.20 petang tadi selepas lebih sejam azan dilaungkan bapa saudaranya, Abdul Rahim Hashim, 26, di pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat yang menyambung semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3 petang tadi.

“Hasil operasi SAR pada hari kedua, kita berjaya menemukan mangsa yang hilang dan disahkan telah meninggal dunia disyaki akibat lemas.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan sedang dibawa oleh arus ke pantai. Mayat mangsa juga sudah dicamkan oleh ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, seramai 10 pegawai dan 63 anggota terdiri daripada Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi SAR pada hari ini.

Jenazah Hani Suefyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, Gemereh, Segamat.

Semalam media melaporkan seorang remaja ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini.

Dalam kejadian pukul 1.26 petang semalam, Mohamad Imran Mohd. Nazir, 17, dilaporkan meninggal dunia, manakala Hani Suefyan masih hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya