KUALA LUMPUR: ‘Abah beritahu mahu ke kedai pada 11.25 malam, 17 Disember lalu dan pagi keesokannya apabila saya mesej tanya khabarnya tetapi dia beritahu sudah sesat.’
Demikian kongsi anak kepada Ahmad Kusyairi Abd Rashid, 49, dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas dipercayai keluar dari bilik sewanya di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, dekat sini sejak seminggu lalu.
Anaknya, Ahmad Firdaus, 23, berkata, bapanya sebelum ini menetap bersama datuk dan neneknya namun atas beberapa faktor dia serta abangnya terpaksa memindahkan bapa ke bilik sewa berhampiran rumahnya sejak 16 Disember lalu dan akan memantau keadaannya.
Katanya, dia selalu berhubung dengan bapanya melalui WhatsApp malah Ahmad Kusyairi ada memaklumkan mahu mahu ke kedai pada 11.25 malam, 17 Disember lalu namun tidak membenarkan kerana bimbangkan keselamatannya.
“Pada pagi keesokannya saya mesej abah tanya khabarnya tetapi dia hanya balas pada tengah hari dan beritahu dia sesat. Ketika itu saya sedang bekerja dan berikan alamat bilik sewa. Saya kemudian mesej abah lagi tetapi mesej itu hanya satu ‘tick’ saja.
“Pada Jumaat lalu saya pergi rumah abah mahu hantar makanan tetapi abah tiada. Saya ingatkan dia ke surau dan apabila saya datang lagi abah tetap tiada di rumah dan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi.
“Saya tak tahu abah keluar dengan apa tetapi penyewa bilik lain ada beritahu dia dengar bunyi kereta selepas subuh dipercayai untuk ambil abah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pembantu kedai itu berkata, sebelum ini bapanya memang selalu keluar rumah dan akan pulang semula.
Bagaimanapun, ujarnya, apabila lelaki itu masih tidak pulang serta usaha mencarinya juga masih gagal, dia bertindak membuat laporan polis pada Ahad lalu untuk tindakan lanjut.
“Kami setiap hari akan mencari abah tapi sehingga kini masih belum ada sebarang pentunjuk keberadaannya. Ada seorang pak cik beritahu yang abah beritahunya mahu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk semak bantuan yang dimohon.
“Adik-beradik abah juga berusaha mencari abah tetapi masih belum jumpa. Saya dan abang terlalu risaukan keadaan abah, lebih-lebih lagi abah tak sihat dan diserang angin ahmar sejak lebih setahun lalu.
“Kami bimbangkan keselamatan abah, makan dan minumnya serta di mana abah tidur ketika ini. Saya berharap abah dapat ditemui dengan segera,” katanya.
Justeru, dia meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung Ahmad Kusyairi boleh menghubunginya di talian 011-51561240 selain tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Saujana Utama, Sarjan Fuzi Kamazan di talian 012-3818167.
Media semalam melaporkan, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang di Bandar Puncak Alam, Selangor, di sini, sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan individu terbabit kira-kira 9.36 pagi, Ahad lalu.- UTUSAN











