KUALA LUMPUR: SBS Nexus Berhad (SBS Nexus), syarikat pakar penyelesaian penjenamaan dan pemasaran, menyasarkan untuk meraih RM30.63 juta menerusi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Januari 2026.
Permohonan bagi terbitan awam telah dibuka sehingga pukul 5 petang, 7 Januari 2026.
Pada harga IPO 25 sen sesaham, SBS Nexus dijangka mempunyai permodalan pasaran indikatif sebanyak RM122.50 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham.
Syarikat bercadang menggunakan hasil IPO bagi penubuhan ibu pejabat baharu, pengembangan perniagaan, aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, pembayaran balik pinjaman, modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Chun Mun berkata, pelancaran prospektus itu menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat kumpulan sejak penubuhan anak syarikat pertamanya pada 2003.
“Daripada sebuah penyedia perkhidmatan penjenamaan berskala kecil, kami berkembang menjadi penyedia penyelesaian penjenamaan dan pemasaran sehenti yang merangkumi penjenamaan luar talian dan digital melalui ekosistem pemasaran berbilang saluran.
“Penyenaraian di Pasaran ACE ini akan membolehkan kami melangkah ke fasa seterusnya, memperkukuh keupayaan operasi serta menyokong pertumbuhan mampan kumpulan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Prospektus SBS Nexus Berhad di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi, Warren Cheng berkata, syarikat merancang untuk berpindah ke pejabat yang lebih besar seluas kira-kira 20,000 kaki persegi berbanding pejabat sedia ada seluas 10,000 kaki persegi.
Menurutnya, ketika ini syarikat mempunyai sekitar 44 orang pekerja dan selepas penyenaraian IPO, hasil yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan jumlah tenaga kerja sehingga 100 orang.
“Lokasi pejabat baharu yang disasarkan adalah di kawasan Lembah Klang, dengan tiga lokasi telah disenarai pendek, namun keputusan muktamad masih belum dimuktamadkan.
“Sasaran perpindahan pejabat adalah pada suku ketiga tahun hadapan dan kami berharap semua perancangan dapat diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya.
Dari segi prestasi kewangan, hasil kumpulan meningkat kepada RM29.92 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM11.60 juta pada 2022, manakala keuntungan selepas cukai melonjak kepada RM7.60 juta daripada RM1.58 juta dalam tempoh sama.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, kumpulan mencatat hasil sebanyak RM21.76 juta berbanding RM12.74 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM4.71 juta daripada RM3.39 juta.
M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO SBS Nexus. – UTUSAN











