Polis bongkar makmal syabu dalam kebun durian, rampas dadah RM38 juta

Polis bongkar makmal syabu dalam kebun durian, rampas dadah RM38 juta

HUSSEIN Omar Khan (kiri) menunjukkan syabu yang telah dilarutkan ke dalam kepingan fabrik atau kanvas ketika sidang akhbar berkaitan rampasan dadah itu di sebuah kebun durian di Teluk Bahang, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Taktik satu sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan sebuah rumah kosong dalam kebun durian di Teluk Bahang di sini sebagai makmal haram untuk memproses syabu terbongkar susulan beberapa siri serbuan yang dilakukan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas kira-kira 1.2 tan dadah secara keseluruhan yang dianggarkan bernilai hampir RM38 juta.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium di sekitar Jalan Gurdwara, George Town. Dalam serbuan itu, tiga lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 38 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ahli kimia untuk memproses dadah telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai bertindak sebagai koordinator untuk sindiket terbabit bagaimanapun maut selepas terjatuh dari aras lima kondominium tersebut ketika cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut di kondominium itu kemudian menjumpai 36 kilogram (kg) serbuk putih disyaki syabu serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan kedua di sebuah premis perniagaan tidak jauh dari situ, sebanyak 474 kg syabu telah dijumpai manakala serbuan terakhir di kebun durian itu pula membawa kepada penemuan dadah terbesar iaitu 60kg serbuk syabu, 54kg ketulan kristal syabu, 574kg cecair disyaki syabu serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Hasil siasatan mendapati, rumah kosong di kawasan kebun durian ini dijadikan sebagai makmal haram untuk memproses dadah manakala premis perniagaan serta kondominium pula digunakan sebagai stor penyimpanan dan lokasi pembungkusan sebelum bekalan dadah itu dihantar ke luar negara.

“Polis percaya bahawa sindiket ini aktif sejak Ogos lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai boleh merosakkan sehingga 5.94 juta penagih jika terlepas ke pasaran gelap,” katanya yang memaklumkan, kebun durian itu disewa dengan harga mencecah RM80,000 setahun.

Dalam pada itu, Hussein berkata, sindiket itu dipercayai didalangi oleh warga asing dari negara sebelah timur yang menghantar bahan kimia serta peralatan memproses dadah ke Malaysia sebelum membawa masuk tiga ahli kimia warga asing dengan menggunakan visa pelancong.

Ujarnya, bagi mengelak kegiatan mereka daripada dikesan oleh pihak berkuasa, sindiket terbabit turut menggunakan taktik seperti melarutkan dadah syabu ke dalam kepingan fabrik atau kanvas sebelum menghantar dadah berkenaan dengan menggunakan khidmat syarikat kurier antarabangsa.

“Setakat ini, kita kesan tujuh ‘parcel’ telah dihantar ke Australia dan Hong Kong dengan setiap satunya seberat dua kg. Kita percaya penerima parcel ini juga akan menggunakan bahan khas untuk mendapatkan syabu yang telah dilarutkan dalam kepingan kanvas,” katanya yang memberitahu, kesemua suspek yang ditahan kini direman tujuh hari bermula kelmarin.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan sitaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang membabitkan aset bernilai RM181,000 termasuk beberapa buah kenderaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×