SEPANG: Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah menyifatkan pendekatan tidak menetapkan sasaran pingat emas sebagai faktor utama kejayaan kontinjen negara membawa pulang 57 pingat emas sekaligus 231 pingat secara keseluruhan di Bangkok.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan kaedah baharu yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjaya mengurangkan tekanan ke atas atlet sekali gus membolehkan mereka menyerlah melebihi jangkaan.
“Apabila kita tidak meletakkan had kepada apa yang boleh dicapai, kita beri mereka langit dan biarkan mereka bangkit serta membuktikan kemampuan sebenar mereka.
“Kaedah ini tidak mengehadkan sukan, pasukan atau atlet, sebaliknya membina keyakinan dalaman yang sangat penting untuk prestasi di pentas besar,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Bagaimanapun, Nurul Huda memberitahu, kontinjen negara tidak boleh terlalu selesa walaupun sudah mencapai dua penanda aras utama susulan persaingan serantau dijangka menjadi lebih sengit selepas ini.
“Walaupun kita mencapai dua penanda aras iaitu 57 pingat emas dan 231 pingat keseluruhan serta kedudukan keempat keseluruhan, kita tidak boleh berasa selesa atau leka dengan kejayaan ini.
“Semua sukan akan melalui proses semakan dan post-mortem kerana pesaing kita pasti mahu membalas kekalahan mereka, jadi kita perlu melihat bagaimana untuk bangkit lebih tinggi daripada kedudukan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui pendekatan tersebut pernah dicadangkannya sejak 2021 ketika berada dalam lembaga pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Sebagai bekas atlet, sasaran spesifik sering mencetuskan ketakutan kegagalan dan itu bukan mentaliti atlet berprestasi tinggi yang seharusnya berfikir secara positif,” ujarnya.
Kontinjen negara bukan sahaja memperbaiki prestasi daripada 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa ketika di Kemboja, malah Malaysia bangkit mengumpul 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, sekali gus menutup kempen dengan 231 pingat secara keseluruhan.
Jumlah berkenaan secara tidak langsung melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini, dan mencipta sejarah baharu dengan kutipan tertinggi pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat dicatat pada edisi 2007 di Korat, Thailand. – UTUSAN










