BANGKOK: Ketua jurulatih futsal bawah 19 tahun (B-19) negara, Rakphol Sainetngam mengharapkan ‘magis bumi Thailand’ sekali lagi berpihak kepadanya di Kejuaraan Futsal ASEAN B-19 di Nothaburi, Thailand.
Rakphol yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat gangsa bersama skuad senior di Sukan SEA Thailand berkata, membawa Malaysia beraksi di negara kelahirannya sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa.
Katanya, walaupun terpaksa mengerah kudrat membahagikan fokus antara skuad senior dan B-19, Rakphol mahu mengutamakan kepentingan pasukan tanpa menghiraukan keletihan yang dihadapinya.
“Sebelum Sukan SEA bersama skuad senior, kakitangan saya juga bekerja keras. Dalam sehari, kami (jalani) berlatih enam jam iaitu dua sesi dengan skuad senior dan dua jam dengan pemain muda.
“Ini kerja saya dan kami kena fokus, biarlah letih, tidak ada masalah jika keputusan sama seperti Sukan SEA, ia istimewa. Di Thailand ada banyak perkara istimewa dan magis tetapi paling penting kami kena berlatih dengan baik kerana kita sebenarnya ada pemain yang bagus,” katanya.
Malaysia berada dalam Kumpulan B dan akan membuka tirai saingan menentang Myanmar, hari ini sebelum melengkapkan aksi awal bertemu Indonesia, Khamis ini.
Dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir pada 27 Disember sebelum aksi penentuan tempat ketiga dan final pada 29 Disember ini.
Mengulas aksi pembukaan nanti, Rakphol menjelas, tumpuan tidak hanya tertumpu kepada persiapan taktikal sebaliknya mahu memastikan pemain negara lebih bersedia untuk berdepan cabaran Myanmar.
“Myanmar ada pemain yang kuat, lebih kepada fizikal dan kami perlu lakukannya (beri tentangan) pada perlawanan pertama. Indonesia pula ada kemahiran individu dan ada skuad yang bagus,” katanya. – UTUSAN











