Spesies resing diancam keputusan

Spesies resing diancam kepupusan

SPESIES resing semakin diancam kepupusan di Sungai Tembeling di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kelibat resing yang suatu ketika dahulu menjadi pemandangan biasa di tebing berpasir Sungai Tembeling pada era 1970-an, kini semakin jarang kelihatan, menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan spesies berkenaan di habitat semula jadinya.

Berdasarkan maklumat eko­logi tempatan, penduduk setempat di situ mengakui bahawa aktiviti penetasan resing atau labi-labi gergasi itu semakin berkurangan sejak beberapa dekad lalu.

Penyelidik Softshell Turtle Conservation Centre, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Azham Yahya berkata, jika dahulu resing sering naik ke daratan untuk bertelur, kini laporan tentang aktiviti spesies tersebut semakin jarang dide­ngar.

“Sejak usaha pengumpulan data dimulakan pada 2021, jumlah keseluruhan telur yang dikumpul hanya 648 biji, angka yang dianggap terlalu kecil berbanding kelimpahan populasi pada suatu ketika dahulu.

“Fenomena ini jelas menun­jukkan kemungkinan besar berlaku penurunan populasi resing di Sungai Tembeling, sekali gus menandakan ancaman kepupusan semakin nya­ta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Secara amnya, habitat bagi resing merangkumi sungai , estuari, kawasan paya air tawar/air payau dan kadangkala pesisiran pantai yang mana spesies tersebut menggunakan habitat untuk makan, rehat serta bertelur.

Berdasarkan pemerhatian lapangan dan dapatan kajian terkini, terdapat beberapa tapak penetasan bagi spesies re­sing dan labi-labi bintang yang masih aktif dikenal pasti di sepanjang sistem Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.

Mohd. Azham berkata, spesies labi-labi gergasi atau nama saintifiknya Pelochelys cantorii kini berada pada tahap terancam teruk (CR) di peringkat global akibat tekanan antropogenik dan gangguan ekologi.

Menurutnya, pemerhatian lapangan di sekitar tadahan Sungai Pahang dan Sungai Tembeling mendapati beberapa faktor utama sedang menekan kelangsungan hidup spe­sies ini.

“Antara ancaman global di­kenal pasti termasuk perubahan guna tanah bagi pemba­ngunan perumahan, kawasan komersial, perlombongan dan pertanian.

“Selain itu, pencemaran akuatik akibat pelepasan efluen industri, sisa domestik serta kumbahan turut menjejaskan habitat semula jadi spesies ini. Eksploitasi manusia yang menjadikan resing sebagai sumber makanan juga dilihat semakin membimbangkan,” katanya.

Tambahnya, di peringkat tempatan, pemerhatian di sekitar Sungai Pahang dan Sungai Tembeling mendapati eksploitasi tradisional oleh komuniti Orang Asli yang menjadikan telur dan daging resing sebagai makanan tempatan masih berlaku.

“Telur resing turut menjadi mangsa pemangsa semula jadi seperti biawak manakala kehadiran spesies invasif seperti baung ekor merah turut menambah tekanan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×